Feri kenderaan Wawasan Perdana yang terbakar
LABUAN: Feri kenderaan Wawasan Perdana milik Syarikat Labuan Ferry Corporation (LFC) Sdn Bhd telah terbakar pada jam 6.05 pagi kelmarin ketika sedang berlabuh di terminal feri.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superitendan Adzhar Othman berkata kejadian kebakaran itu disedari oleh pekerja di bahagian enjin kapal ketika pekerja hendak menghidupkan enjin feri terbabit.
“Pihak bomba telah menerima panggilan kecemasan pada jam 6.12 pagi dan tiba ke lokasi berkenaan tiga minit kemudiannya. Kebakaran telah berjaya dikawal dengan sepenuhnya pada jam 7.20 pagi,” katanya.
Sejurus kebakaran berjaya dikawal, Adzhar bersama anggota polis dan bomba telah melakukan pemeriksaan fizikal ke atas feri terbabit.
“Keseluruhan kabin penumpang dan bilik juragan telah musnah terbakar.
“Namun demikian, tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa yang berlaku memandangkan tiada kenderaan ataupun penumpang berada di dalam feri, dan feri itu hanya mula beroperasi pada jam 8 pagi setiap hari.
“Hasil siasatan awal mendapati punca kebakaran disebabkan oleh lintar pintas pemanas air di bahagian dapur kantin dalam kabin penumpang,” katanya dan menambah, kes itu diklasifikasikan sebagai “fire report”.
Adzhar turut berkata, atas kecekapan pihak bomba dan penyelamat yang berjaya memadam kebakaran dalam masa 37 minit telah berjaya mengelak kebakaran dari merebak ke tempat lain dan siasatan masih lagi diteruskan.
Feri Wawasan Perdana boleh memuatkan 1,000 penumpang, 80 buah kenderaan sedan dan 24 buah lori 15 tan dalam satu perjalanan.
Sementara itu, ketua pegawai eksekutif LFC, Shamsul Sahari dan pengarah eksekutif LFC, Peter Kong enggan mengulas mengenai perkara tersebut dan menyerahkan kepada pihak polis dan bomba untuk menjalankan siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan