SIBU: Seorang lelaki kehilangan wang tunai RM3,000 selepas meniduri seorang gadis ‘call girl’ di sebuah bilik hotel murah di sini malam kelmarin.
Difahamkan, lelaki berusia 29 tahun dan berasal dari Kampung Kabuaw, Igan itu bekerja sebagai pemandu jengkaut di sebuah kem pembalakan di Pulau Solomon, berada di bandar ini untuk menguruskan sesuatu di pejabat ejen majikannya di Jalan Tuanku Osman pada pagi itu.
Lelaki tersebut kemudiannya berjumpa dengan lima orang rakannya dan bercadang untuk pergi berhibur di sebuah pusat hiburan pada jam 5.00 petang.
Bagaimanapun selepas meninggalkan pusat hiburan tersebut, mangsa dan rakan-rakannya yang lain telah berpisah.
Menurut mangsa dia kemudiannya pergi ke sebuah hotel murah kira-kira jam 9.00 malam dan meminta seorang pekerja hotel di situ mencarikannya seorang gadis ‘call girl’ untuk bermalam bersamanya.
Menurut pengadu, dia telah memberikan sebanyak RM300 kepada penjaga kaunter tersebut dan RM45 untuk membayar sewa bilik hotel.
Difahamkan seorang gadis berbaju warna merah jambu dan memakai skirt pendek muncul di depan pintu bilik yang telah ditempahnya pada jam 9.30 malam kelmarin.
Selepas gadis itu masuk ke bilik, dia (gadis) memberitahu mangsa bahawa dia sangat dahaga dan mahu keluar sekejap untuk membeli air minuman.
Gadis itu keluar untuk membeli air minuman selepas mangsa memberi RM10 kepadanya.
Apabila mangsa menjenguk dari jendela, dia sempat melihat gadis itu sedang berbual-bual dengan empat orang lelaki yang tidak dikenali.
Setelah membeli air, gadis itu balik ke bilik hotel dan memberitahu mangsa bahawa dia akan pulang pada jam 6.00 pagi itu.
Mangsa memberitahu dia hanya terbangun selepas jam 6.00 pagi dan mendapati beg sandangnya yang mengandungi kad pengenalan, kad ATM dan buku pasport sudah hilang.
Dia percaya beg sandangnya telah dilarikan oleh gadis yang mempunyai tanda lahir di bahagian kiri mukanya. Mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Sentral Sibu pagi semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan