Jumaat, 5 Oktober 2012

Konsert Gegar Taman Awam Miri Bulan Depan

Steven dan Lee menunjukkan sijil Pendaftar Pertubuhan (ROS) kelab yang diterima 



MIRI: Konsert terbuka menampilkan pelbagai genre muzik dirancang diadakan di Taman Awam pada bulan November depan oleh pemuzik tempatan yang bernaung di bawah Kelab Muzik Galaxy Miri.

Presidennya, Steven Chan berkata, konsert dikenali sebagai Musical Parade dirancang diadakan pada 11 November dari jam 10 pagi hingga 6 petang.

“Tema konsert kita ialah Perpaduan Menerusi Muzik. Menerusi aktiviti ini, kita menjemput artis sama ada solo atau berkumpulan untuk mempersembahkan bakat muzik mereka,” ujar beliau.

Steven menjelaskan perkara itu selepas menemui Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin di pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Senadin petang semalam.

Beliau ditemani oleh ahli-ahli kelab yang merupakan penggiat seni muzik di sini dan memberi penjelasan kepada Lee tentang objektif penganjuran konsert berkenaan.

Steven berkata, antara objektif utama aktiviti mereka itu ialah mempromosikan pelbagai genre muzik kepada penduduk serta ruang memperkenalkan bakat artis tempatan kepada umum menerusi persembahan mereka.

“Kita akan cuba sajikan pelbagai genre muzik termasuk muzik-muzik malar segar dan tradisional. Kita juga ada persembahan ‘live band’,” jelasnya.

Mereka yang berminat untuk membuat persembahan, boleh menghubungi beliau menerusi talian 019-8158878 dan 013-8608878.

Steven berkata, mereka digalak mendaftarkan diri sebagai ahli kelab untuk membenarkan mereka membuat persembahan.

Dalam pada itu, Lee berkata, penganjuran konsert terbuka itu merupakan cara terbaik untuk memeriahkan suasana di taman-taman awam di sini.

“Saya menyokong usaha kelab ini. Kita mahu dengan penganjuran aktiviti sebegini akan menjadikan suasana taman-taman kita lebih hidup dan meriah,” jelas Lee.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan