Jumaat, 5 Oktober 2012

GRO Dan Kekasih Di Penjara Seumur Hidup

Gao Bingju dan teman lelakinya Lai Khan Nei, dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup



GEORGE TOWN: Sepasang kekasih dihukum penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas didapati bersalah menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dan memperoleh wang tebusan RM200,000, tiga tahun lepas.

Lai Khan Mei, 35, dan teman wanitanya, Gao Bingju, 25, seorang warga China, didapati bersalah melarikan dan mengurung kanak-kanak itu di sebuah rumah di Taman Gemilang Ria, Bukit Mertajam, dekat sini, kira-kira jam 5.30 petang, 19 Dis 2009.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Amin Firdaus Abdullah turut menjatuhkan hukuman 15 kali sebatan terhadap Lai selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Beliau berkata mahkamah menolak keterangan Lai yang mengatakan wang yang ditemui ketika dia dan Gao ditangkap di Genting Highlands adalah pemberian kawan-kawannya.

“Mahkamah mendapati keterangan dikemukakan pihak pendakwaan berjaya membuktikan identiti kedua-dua tertuduh terlibat dalam kes ini,” katanya.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim dan Shakila Banu Sheik Allaudeen manakala kedua-dua tertuduh diwakili oleh peguam Ku Abdul Rahman Ku Ismail. - Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan