Isnin, 22 Oktober 2012

Mayat Lelaki Ditemui Di Stor Jubin Terbiar

Kelihatan anggota polis mengangkat mayat Rosnan

BESUT: Mayat seorang lelaki yang lengkap berbaju Melayu dan memakai kain ditemui di sebuah stor terbiar menjual peralatan membuat rumah di Kampung Seberang Jerteh awal pagi semalam.

Mangsa dikenali sebagai Rosnan Jaafar, 51, dari Kampung Lak Lok Dalam, Jerteh bekerja sebagai buruh dengan sebuah Syarikat Kuari di Bukit Yong di sini.

Ketika mengesahkan kejadian, Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Zakaria berkata sebelum kejadian itu polis Balai Jerteh telah menerima laporan daripada anak lelaki mangsa tentang kehilangan ayahnya yang tidak balik rumahsejak keluar jam 9.00 malam Sabtu lalu.

Katanya, dalam laporan tersebut si mati dilaporkan telah keluar dari rumahnya dengan menunggang motosikalnya untuk mengisi minyak tetapi tidak pulang sehingga mayatnya ditemui kira-kira jam 11.00 pagi semalam.

Menurut Kamaruddin, mayat si mati telah ditemui oleh pemilik kedai menjual peralatan membuat rumah bersebelahan stor itu.

“Ketika ditemui mayat si mati didapati tiada sebarang kesan kecederaan pada tubuh malah motosikal jenis Honda Wave dan dompet milik si mati juga ditemui pada motosikalnya yang diletakkan berdekatan,” katanya kepada pemberita.

Menurutnya, sebelum itu polis diberitahu anggota keluarganya yang si mati pernah dimasukkan ke Hospital daerah Besut awal bulan ini kerana mempunyai penyakit jantung dan lelah.

Mayatnya dibawa ke Hospital daerah Besut untuk bedah siasat. - Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan