Isnin, 22 Oktober 2012

Warga Emas Mati Ditembak Di Depan Isteri Dan Pembantu Rumah


KUALA LUMPUR: Seorang warga emas mati ditembak ketika berada dalam kereta di hadapan rumahnya dalam kejadian kira-kira jam 9.10 pagi semalam di Jalan Desa Permai, Taman Desa dekat sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abd Bari Wan Abd Khalid berkata, ketika kejadian, mangsa Fong Yen Chong, 72, bersama isteri serta seorang pembantu rumahnya baru memasuki kereta jenis Perodua Myvi untuk ke pasar sebelum ditembak seorang lelaki bertopeng.

“Sebanyak lima das tembakan telah dilepaskan oleh suspek yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja berwarna kelabu. Salah satu daripada tembakan itumengenai bahagian bawah telinga kanan mangsa manakala isterinya hanya mengalami cedera ringan akibat terkena serpihan kaca.

“Tembakan itu juga turut mengenai cermin hadapan, cermin sebelah kanan dan bahagian sisi sebelah kanan kereta mangsa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Akibat daripada tembakan itu, mangsa yang merupakan pesara syarikat insurans mati di tempat kejadian, katanya.

Wan Abd Bari berkata, suspek dipercayai telah menunggu mangsanya di luar rumah dan telah datang dari arah bertentangan sebelum melepaskan tembakan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Sementara itu, jiran mangsa yang enggan namanya disiarkan berkata, dia terdengar bunyi tembakan dan sebaik keluar rumah dia melihat kereta jirannya itu telah terbabas.

“Saya dengar bunyi tembakan dalam empat atau lima kali…saya keluar rumah tengok kereta mangsa sudah terbabas di tepi,” katanya dan menurutnya mangsa sekeluarga telah menetap di rumah itu lebih 20 tahun. - Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan