Isnin, 1 Oktober 2012

Tentera Bashar Bedil Kawasan Pemberontak

Pertempuran berlaku dengan anggota-anggota kumpulan pemberontak di Tal al-Zarazir

ALEPPO, Syria - Tentera Presiden Bashar Al-Assad membedil kawasan yang dikuasai kumpulan pemberontak di seluruh Syria semalam ketika beberapa pertempuran sengit dilaporkan berlaku di bandar raya ini. Sebuah pasar lama turut terbakar semasa pertempuran tercetus di sini semalam.

Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia memberitahu, pertempuran di bandar raya ini melibatkan bedilan meriam.

Menurut kumpulan tersebut, serangan artileri menyebabkan sejumlah rumah musnah dan sekurang-kurangnya lima orang termasuk dua penduduk awam terbunuh.

Bandar raya ini yang merupakan bandar berpenduduk paling padat di Syria menjadi medan peperangan utama dalam konflik yang telah berlanjutan selama 18 bulan itu.

Namun, pertempuran di sini memuncak sejak beberapa hari lalu. Kebanyakan keganasan berlaku di sekitar Bandar Lama di sini yang turut menyaksikan sebuah pasar lama terbakar.

Seorang koresponden agensi berita AFP dan kumpulan pemerhati itu memberitahu, banyak kedai musnah dalam kebakaran tersebut.

Pertempuran sengit turut dilaporkan berlaku di wilayah Aleppo, utara Syria dengan dua helikopter milik tentera rejim Bashar di lapangan terbang tentera Al-Nairab rosak terkena bedilan mortar pemberontak.

Di wilayah Damsyik pula, pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria (FSA) membunuh lapan askar pemerintah dalam serangan ke atas sebuah pos kawalan tentera di sebatang jalan yang menghubungkan bandar raya Damsyik dengan bandar Qatana, di selatan negara itu.

Sementara itu, jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Khaled Al-Masri memberitahu, Ketua Pejabat Utusan Keamanan PBB-Liga Arab di Syria, Mokhtar Lamani mengadakan pertemuan dengan seorang komander FSA, Kolonel Kassem Saadeddine di tengah negara berkenaan. Namun, agenda perbincangan mereka tidak didedahkan.

Menurut kumpulan pemerhati berkenaan, seramai 118 orang iaitu 48 orang awam, 41 askar dan 29 pemberontak terbunuh dalam keganasan di seluruh Syria kelmarin.

Laporan yang sama menyatakan lebih 30,000 orang terkorban sejak kebangkitan rakyat Syria menentang pemerintahan Bashar tercetus pada Mac 2011. - AFP


Tiada ulasan:

Catat Ulasan