Mayat seorang wanita yang ditemui dibuang di dalam tong sampah
PETALING JAYA – Seorang buruh binaan warga Bangladesh tidak menyangka bungkusan kanvas yang ditemui di dalam tong sampah di Bandar Rahman Putra, Sungai Buloh dekat sini semalam mengandungi mayat seorang wanita yang dipercayai mangsa bunuh.
Buruh yang mahu dikenali sebagai Hassan, 22, berkata, bungkusan itu ditemui pada pukul 11 pagi ketika dia mahu membuang sisa binaan ke dalam tong sampah yang diletakkan di hadapan sebuah rumah kedai yang sedang diubah suai.
“Melihat kepada bentuk bungkusan itu, saya takut untuk membuka menyebabkan saya terus menghubungi tauke saya yang ketika itu berada di Batu Caves sebelum tauke saya menghubungi polis,” kata Hassan yang bekerja sebagai buruh di rumah kedai yang sedang dalam proses diubah suai.
Hassan yang ditemui di sini memberitahu, polis yang tiba di tempat kejadian pada pukul 12.30 tengah hari membuka bungkusan tersebut dan menemui mayat seorang wanita berusia lewat 20-an.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan berkata, mayat wanita warga asing itu dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dicampak ke dalam tong sampah tersebut.
Semasa ditemui mayat itu lengkap berpakaian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan