Rabu, 21 November 2012

Diganggu Ah Long Kerana Hutang Anak

Menunjukkan gambar anak lelaki mereka

KUALA LUMPUR - Seorang ibu dan dua orang bapa terpaksa memutuskan hubungan dengan anak lelaki masing-masing ekoran kegagalan mereka melangsaikan hutang dengan ah long.

Ketiga-tiga lelaki yang merupakan tahi judi itu telah menghilangkan diri disebabkan hutang keliling pinggang, menyebabkan keluarga mereka diganggu kumpulan ah long termasuk rumah dan kereta disimbah cat.

Salah seorang bapa, Siow Kah Yeow, 60, berkata, ah long mula mengganggunya selepas anak lelakinya, Siow Fong Loong, 36, melarikan diri pada 10 September lalu.

"Saya menjual dua buah rumah demi melangsaikan hutangnya berjumlah kira-kira RM500,000. Malangnya, dia masih tidak insaf malah selepas itu membuat pinjaman dengan lapan ah long berjumlah RM9,600," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong dan peguam penasihat biro tersebut, James Ee.

Seorang lagi bapa, Tham Kok On, 60, berkata, dia juga terpaksa memutuskan hubungan dengan anak lelaki bongsunya, Betram Tham Hou Yin, 33, kerana tidak tahan dengan gangguan ah long.

"Sebelum ini saya telah membantunya melangsaikan hutang berjumlah RM70,000 dan dia berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang sama. Namun, selepas itu dia masih meminjam dengan lapan ah long," ujarnya yang bekerja sebagai pemandu peribadi.

Seorang wanita, Wong Chew Fun yang mengalami nasib serupa meminta kumpulan ah long tidak mengganggunya ekoran hutang anak lelakinya, Ung Han Foo, 33.

"Saya telah langsaikan hutangnya berjumlah RM50,000 tetapi dia kemudian membuat pinjaman lagi dengan lima kumpulan ah long," katanya yang menyara hidup dengan menjual sayur.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan