Sabtu, 3 November 2012

Dua Lelaki Indonesia Dipenjara Kerana Masuk Secara Haram

Gambar Hiasan

MIRI: Dua lelaki warga asing dalam dua kes berasingan masing-masing dijatuhi hukuman penjara sebulan dan sekali sebatan oleh Mahkamah Sesyen petang kelmarin kerana kesalahan masuk ke negeri ini secara haram.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk proses pengusiran sebaik selesai menjalani hukuman penjara kelak.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud setelah menimbangkan beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan kedua-dua tertuduh, keterangan fakta kes serta berat kesalahan yang dilakukan mereka.

Mohammad Sahaje, 22, dari Desa Lekor, Indonesia dan Mohammad Yine, 23, dari Pontianak, Indonesia didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukun di bawah Seksyen 6 (3) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali serta boleh disebat sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, Mohammad Sahaje dan Mohammad Yine masing-masing telah ditangkap pada jam 4.10 dan 4.15 pagi, 20 Oktober lalu di sebuah rumah kongsi di Taman Fobolous, Jalan Airport di sini untuk tujuan pemeriksaan kerana dipercayai warga asing.

Ketika disoal siasat awal polis, kedua-dua tertuduh yang berasal dari Indonesia gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah yang membenarkan mereka memasuki dan tinggal di negeri ini.

Pendakwaan dilakukan Cif Inspektor Mary Ong.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan