Sabtu, 3 November 2012

Tukang Kimpal Cedera Serius Akibat Diserang

Gambar Hiasan

MIRI: Seorang tukang kimpal mengalami kecederaan serius di kepalanya, kesan pukulan dan serangan dari sekumpulan lelaki dalam kejadian di Tudan, di sini malam kelmarin.

Mangsa, berusia 30-an berasal dari Perak menerima sebanyak 32 jahitan akibat kecederaan serius yang dialaminya.

Bekerja di negara jiran, Brunei Darussalam mangsa mendakwa diserang sekitar jam 9 malam ketika berjalan-jalan di sekitar kawasan sebuah pasar raya popular di Tudan.

Mangsa berada di Miri untuk menghadiri majlis pertunangan saudaranya di Permyjaya. Niat mangsa untuk mengunjungi pasar raya itu terhalang setelah diserang dan dipukul oleh sekumpulan lelaki terbabit.

Selain mengalami kecederaan serius di kepala, mangsa turut mengalami kerugian besar setelah kehilangan rantai emas, telefon bimbit dan wang Brunei.

Mangsa ditinggalkan dalam keadaan pengsan oleh perompak di kawasan berhampiran pasar raya berkenaan. Tidak lama selepas itu, mangsa mendapati dirinya seperti sedang diangkat dan dimasukkan ke dalam kereta.

Setelah mendapati dirinya berada jauh dari kawasan pasar raya itu, mangsa dihumban ke dalam semak-samun di tepi jalan.

Dia ditemui oleh seorang warga emas yang melalui jalan terbabit dan dibantu dibawa ke balai polis pusat Miri untuk melaporkan kejadian itu. Mangsa menerima rawatan di Hospital Miri dan dibenarkan keluar pada petang semalam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan