MIRI: Dua penyelia juruteknik masing-masing didenda RM20,000 atau lima bulan penjara oleh Mahkamah Majistret petang semalam kerana kesalahan mencuri satu drum kabel kepunyaan majikan tempat mereka bekerja.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Lovely Natasha Charles setelah menimbangkan beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukan mereka serta mengambil kira kepentingan awam.
Kong Chim Ping, 39, dari Taman Siang-Siang, Jalan Luak Bay dan Tan Ing Tai, 30, dari Jalan Sentosa Salim, Sibu telah didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Berdasarkan pertuduhan kes, kedua-dua tertuduh didapati telah mencuri satu drum yang mengandungi dua jenis kabel dengan ukuran lebar masing-masing 35mm dan 50mm sepanjang 240 meter dan bernilai RM18,720 kepunyaan syarikat Shin Yang Plywood Sdn Bhd.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama pada jam 5.30 petang, 12 September lalu di stor Shin Yang Plywood, Kuala Baram.
Hasil siasatan lanjut polis mendapati kesemua kabel yang dicuri kemudian telah dijual oleh kedua-dua tertuduh kepada sebuah syarikat yang terletak di Batu 6 1/2 Jalan Miri-Bintulu di sini dengan harga RM7,546.
Di hadapan mahkamah, kedua-dua tertuduh memohon hukuman yang ringan dikenakan ke atas mereka memandangkan ini adalah kesalahan pertama mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan