Zipni kelihatan sedang memegang buaya yang ditemui di dalam jarringnya
SARATOK: Kisah serangan buaya ganas yang berakhir dengan tragedi menyayat hati sering kita dengar berlaku di seluruh pelosok negeri ini.
Namun berbeza dengan pengalaman mengejutkan yang berlaku kepada seorang nelayan ketika sedang menarik jaring yang dipasangnya, apabila seekor buaya betina sepanjang kira-kira 2.5 meter tersangkut di dalam jaring ketika menangkap ikan di Sungai Krian, tengah hari semalam.
Zipni Jali, 42, tidak menyangka bahawa perkara tersebut akan berlaku ketika dia bersama anaknya Faizal Zipni, 18, hendak mengangkat jaring yang dipasangnya sehari sebelumnya.
Menurutnya, pada mulanya dia menyangka ikan yang besar tersangkut di jaringnya apabila jaring yang ditariknya terasa berat untuk diangkat.
“Namun apa yang saya sangka sebaliknya. Saya terkejut apabila melihat seekor buaya (buaya katak) terjerat dalam jaring yang saya pasang.
“Sepanjang pengalaman mencari rezeki menangkap ikan di sini, inilah pertama kali seekor buaya terjerat dalam jaring,” ujarnya.
Katanya penduduk kampung sering menjumpai buaya timbul di sungai itu namun inilah pertama kali buaya tersangkut di dalam jaring.
“Nasib saya kurang baik hari ini, buaya pula yang terlebih dahulu memperolehi habuannya pada jaring saya.
“Kebetulan hari ini anak saya yang bersama saya turut membantu menaikkan buaya seberat kira-kira 50 kilogram itu dan berusaha untuk melepaskannya.
Zipni yang sejak lama berkecimpung mencari rezeki di sungai tersebut menyatakan bahawa Sungai Krian memang menjadi lubuk buaya, terutama di sekitar kawasan Tanjung Kelimah yang tidak berapa jauh dari sini.
Bagaimanapun katanya, sehingga kini belum ada kes penduduk di situ diserang buaya.
Apapun dia melepaskan buaya tersebut yang masih hidup sejurus jaring yang tersangkut pada mulut buaya tersebut berjaya dibukanya.
Pada masa yang sama dia terfikir untuk tidak mengapa-apakan buaya tersebut kerana dikhuatiri akan berlaku perkara yang tidak diingini.
Zipni beranggapan reptilia ganas itu bersifat pendendam dan bimbang mereka akan mengganggu masyarakat setempat yang mencari rezeki di sungai tersebut jika rakan mereka dicederakan atau dibunuh. - UTUSAN BORNEO
Tiada ulasan:
Catat Ulasan