Rabu, 12 Disember 2012

Dihukum Gantung


SANDAKAN: Mahkamah Tinggi Sandakan kelmarin menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap seorang lelaki tempatan yang bersalah membunuh kedua ibu bapanya di rumah mereka tahun lepas.

Mahkamah mendapati tertuduh bersalah membunuh bapa dan ibunya pada 13 September tahun lalu antara jam 10 dan 10.50 malam di sebuah rumah tidak bernombor di Beatrice Estate, Batu 1.5, di sini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Supang Lian memutuskan Yew Wui Lam, 32, bersalah setelah perbicaraan bagi kedua-dua kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang bersidang sejak tahun lepas itu selesai kelmarin.

Setelah mendengar keterangan 12 saksi pendakwaan, seorang saksi pembelaan dan hujah dari kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati tertuduh bersalah membunuh Hiew Hiap Foh, 71, dan Chu Shuk Fon @Chu Ching Mui, 62.

Wui Lam turut dipenjara 14 tahun bagi kesalahan ketiganya mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana telah mendatangkan cedera parah dengan menggunakan pisau ke atas kakaknya, Yew Pui Lin, 37, juga pada hari kejadian di rumah yang mereka diami bersama itu.

Berdasarkan fakta kes, pada malam kejadian, kakak pesalah telah terdengar jeritan bapa mereka yang datang dari bilik kedua orang tua mereka.

Kakak pesalah kemudian pergi ke bilik berkenaan dan ternampak Wui Lam memegang sebilah pisau, di mana pada ketika itu bapa mereka telah terbaring di atas katil dengan kesan darah di baju bahagian dada. Kakak pesalah kemudian bertanya kepada tertuduh kenapa dia menikam bapa mereka dan pesalah kemudian menuju ke ruang tamu sebelum berlaku pergelutan antara kedua beradik itu.

Ekoran pergelutan itu, kakak pesalah mengalami kecederaan di tangan terkena pisau, di mana pada ketika itu juga kakak pesalah menjerit meminta pertolongan daripada ibu mereka. Pergelutan antara ibu dan pesalah turut berlaku.

Mangsa (bapa) yang masih sedar kemudian keluar dari bilik dan menyuruh anaknya (adik pesalah) menyelamatkan diri dengan masuk ke bilik tidur. Kakak pesalah kemudian berjaya melepaskan diri dari pesalah dan mengunci pintu. Teriakan mangsa juga didengari jiran mereka, namun jiran berkenaan menyangka ia hanyalah pergaduhan biasa antara suami dan isteri.

Setelah bergelut dengan bapa, ibu dan kakaknya, pesalah kemudian keluar dari rumah mereka dengan menaiki sebuah kenderaan menuju ke bandar Sandakan, lalu bertindak menaiki sebuah bangunan di bandar ini dan cuba membunuh diri.

Walau bagaimanapun, perbuatannya itu disedari pengawal keselamatan di bangunan berkenaan lalu berjaya menghalang pesalah daripada terjun. Pesalah juga menceritakan kepada pengawal keselamatan berkenaan bahawa dia telah menikam kedua ibubapanya.

Anggota MPV Polis kemudian tiba dan hanya memberinya nasihat dan berterus-terang dan kemudian membenarkan Wui Lam pulang ke rumahnya. Sementara itu, ketika Wui Lam keluar rumah, kakaknya berjaya menghubungi seorang lagi adiknya di mana panggilan itu disambut oleh suami kepada adik mereka.

Sejurus menerima panggilan mengenai kejadian, mereka kemudian bergegas ke rumah berkenaan, dan setibanya di sana, mereka menerima panggilan dari pihak hospital dan polis, menyatakan seorang yang cedera telah dibawa ke hospital dengan ambulan manakala dua lagi (ibu bapa mereka) telah meninggal dunia.

Hasil pemeriksaan lanjut di rumah tersebut, polis mendapati banyak kesan tompokan darah dan keadaan rumah berselerak. Pisau (barang kes) yang disembunyikan Wui Lam turut ditemui di bawah sofa.

Hasil bedah siasat terhadap mangsa (bapa) mendapati punca kematiannya adalah disebabkan oleh tikaman pada bahagian dada sebelah kiri yang menyebabkan kecederaan pada paru-paru kiri, salur darah dan juga jantung.

Manakala punca kematian ibu pesalah pula adalah berpunca dari tikaman di bahagian dada kiri yang juga menyebabkan jantung dan paru-parunya tercedera. Manakala terdapat dua tikaman masing-masing di bahagian perut dan tangan kiri kakak pesalah yang juga hasil perbuatan nekad adiknya itu.

Siasatan turut mendapati kejadian yang berlaku adalah disebabkan masalah kewangan yang dihadapi pesalah. Dia telah memulakan perniagaan di Johor dan berhutang dengan kebanyakan pelanggan selain ceti haram. Dia (pesalah) juga meminta bapanya menjual rumah yang mereka diami di Sandakan itu untuk menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi.

Bagaimanapun, bapanya enggan berbuat demikian kerana rumah itu telah diberikan kepada salah seorang daripada adik-beradiknya yang lain. Justeru, kerana tidak tenteram memikirkan masalah kewangannya, pesalah telah bertindak membunuh ahli keluarganya.

Timbalan Pendakwaraya Sabah, Mohd Fillanny Siji, mengendalikan pendakwaan kes. Sementara pesalah diwakili dua peguam bagi perbicaraan ketiga-tiga pertuduhan kes berkenaan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan