Selasa, 11 Disember 2012

Penyu Dirampas Di Bali

Dua anggota polis mencurahkan air ke arah penyu hijau yang dirampas

DENPASAR, Indonesia - Polis merampas 33 ekor penyu hijau dan sisik yang ditangkap untuk dijual di restoran di Bali, kata beberapa pegawai semalam.

Jurucakap polis, Komisioner Hariadi berkata, haiwan hidup itu ditemui anggota-anggota polis marin di dalam sebuah bot yang berlabuh di Tanjung Benoa pada malam kelmarin.

"Kami masih memburu suspek penyeludupan (haiwan itu)," katanya.

Beliau memberitahu, penyu-penyu tersebut dipercayai ditangkap di kawasan perairan Pulau Sulawesi.

Ketua Agensi Pemuliharaan Alam Semula Jadi Bali, Soemarsono berkata, penyu itu mempunyai berat antara 30 hingga 60 kilogram dan bernilai antara AS$518 (RM1,584) hingga AS$725 (RM2,218) seekor. Panjang haiwan itu antara 30 sentimeter hingga satu meter.

Menurut Soemarsono, beberapa ekor haiwan itu sakit selepas dibiarkan kekeringan tanpa diberikan air. Beberapa restoran di Bali menjual daging penyu. Daging tersebut mendapat permintaan yang tinggi di Indonesia.

Penyu hijau disenaraikan sebagai spesies terancam oleh Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Semula Jadi. Kesatuan Pemuliharaan Dunia pula menyenaraikan penyu sisik sebagai spesies terancam. - DPA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan