Isteri kepada Tuai Rumah menangis melihat rumah panjang mereka yang musnah dalam kebakaran
SARIKEI: Hasrat penduduk Rumah Gani Ikom, Sungai Jagit Kemedu, Sare di sini untuk meraikan majlis perkahwinan salah seorang anak penduduk rumah panjang terbabit semalam bertukar menjadi tragedi yang tidak mungkin dilupakan sampai bila-bila.
Ini kerana, cuma tinggal lebih kurang 10 jam sebelum tempoh persandingan pasangan pengantin dilangsungkan, rumah panjang terbabit telah musnah dijilat api dalam kebakaran yang berlaku pagi semalam.
Ketua Masyarakat kawasan terbabit, Penghulu Bidai ketika dihubungi berkata, kejadian berlaku sekitar jam 10.30 pagi, semalam.
“Pada masa kejadian, rata-rata penduduk sedang sibuk melakukan kerja-kerja persiapan untuk menyambut te-tamu dan meraikan majlis perkahwinan berkenaan.
“Sedang penduduk asyik menjalankan tugas masing-masing, tiba-tiba beberapa orang penduduk menjerit-jerit mengatakan rumah itu terbakar. Suasana rumah panjang terus gempar dan kelam-kabut.
“Kebakaran dipercayai bermula dari bahagian dapur salah seorang penduduk dan dalam tempoh tidak sampai setengah jam sahaja, keseluruhan rumah panjang musnah dijilat api,” kata Bidai.
Tambahnya, penduduk rumah panjang itu tinggal sehelai sepinggang kerana tiada satu pun barangan dan harta benda yang dapat diselamatkan.
Rumah panjang itu mempunyai 18 pintu bilik dengan jumlah penduduk kira-kira 100 orang.
Struktur rumah panjang itu secara keseluruhannya diperbuat daripada kayu dan terletak lebih kurang 30 kilo-meter dari bandar Sarikei.
Bagi pengantin lelaki yang bertugas sebagai guru sekolah menengah, Franklin Menari, 27, kejadian tersebut memang tidak terlintas akan berlaku, apatah lagi menjelang hari bahagia dan bersejarah bagi dirinya.
“Rumah panjang kami mempunyai beberapa kekurangan iaitu tiada kemudahan bekalan air dan selama ini, penduduk hanya bergantung kepada air tadahan atau tangki sahaja.
“Penduduk pernah memohon kemudahan tersebut kepada pihak berwajib, tetapi hingga ke saat ini belum ada jawapan positif diterima.
“Kita yakin jika rumah panjang ini ada kemudahan ter-sebut semasa kejadian berlaku, sekurang-kurang kami dapat bertindak awal untuk mengawalnya.
“Selain itu, kawasan liputan untuk membuat panggilan telefon di kawasan ini amat teruk, sukar untuk mendapat liputan rangkaian dan kerap terganggu,” katanya.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Pe-nyelamat Sarikei, Salim Hussain berkata, punca kejadian dan kerugian penduduk rumah panjang terbabit masih dalam siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan