Isnin, 3 Disember 2012

Terowong di Jepun Runtuh

Asap menyelubungi kawasan di sekitar terowong itu.

TOKYO - Beberapa anggota penyelamat menemui lima mayat yang rentung selepas bumbung sebuah Terowong Sasago di lebuh raya Chuo, tengah Jepun runtuh semalam.

Mayat-mayat itu ditemui di dalam sebuah kereta. Dua buah kereta remuk di dalam terowong tersebut.

Menurut laporan agensi berita Kyodo, beberapa pekerja penyelamat kini melakukan siasatan bagi memastikan jika terdapat mangsa lain yang terperangkap. Terowong itu sepanjang 4.7 kilometer dan terletak di Otsuki, 80 kilometer ke barat Tokyo.

Kira-kira 150 kepingan siling yang setiap satu berukuran lima meter lebar, 1.2 meter panjang dan setebal lapan sentimeter serta berat 1.2 tan runtuh di dalam terowong tersebut. Lebuh raya itu telah dibuka sejak 35 tahun lalu.

Rangkaian televisyen menunjukkan kepulan asap keluar dari terowong itu. Tujuh orang dipercayai hilang manakala dua lagi cedera dan sekurang-kurangnya dua buah kereta juga terperangkap, kata seorang anggota bomba.

Seorang mangsa, Tomohiro Suzuki, 37, yang melalui kawasan berhampiran menceritakan detik-detik tragis itu.

Menurutnya, dia keluar dari kereta dan berlari ke arah sebuah kenderaan lain yang remuk akibat dihempap konkrit dengan tujuan untuk menyelamatkan penumpang kereta tersebut.

Suzuki berkata, dia kemudian menghubungi polis selepas mendapati amat mustahil untuknya melakukan kerja-kerja menyelamat.

Seorang lagi lelaki memberitahu agensi berita Jiji Press bahawa dia menyaksikan konkrit bumbung terowong itu menghempap sebuah kenderaan di depan matanya.

Asap akibat kereta terbakar keluar dari terowong itu.

Menurutnya, dia mendengar bunyi suara orang meminta pertolongan dari celah-celah timbunan runtuhan sebelum seorang wanita keluar tanpa memakai kasut dengan pakaiannya koyak.

Wanita berkenaan meminta supaya semua rakan dan kekasihnya diselamatkan selepas kereta yang dinaikinya dihempap runtuhan itu. Bagaimanapun, lelaki tersebut menyatakan, kereta yang dinaiki wanita yang terselamat itu terbakar.

Seorang wartawan, Yoshio Goto yang terperangkap dalam kemalangan itu berkata, dia sempat memecut kenderaannya dan berjaya keluar dari terowong itu. Bagaimanapun, terdapat serpihan runtuhan yang menghempap kenderaannya.

"Saya kemudian melihat ke arah kenderaan saya dan mendapati separuh bumbungnya remuk," katanya.

Terowong Sasago yang melalui sebuah kawasan bukit tidak jauh dari Gunung Fuji merupakan salah sebuah terowong yang paling panjang di Jepun.

Ia merupakan kemalangan terburuk yang pernah berlaku di Jepun sejak tahun 1996, setelah sebuah terowong runtuh dan mengakibatkan 20 orang terbunuh.

Syarikat yang mengendalikan lebuh raya itu, Central Nippon Expressway menyatakan pihaknya sedang menyiasat punca kejadian.

Menurut syarikat itu, pihaknya tidak menemui sebarang kecacatan semasa melakukan pemeriksaan pada Septembar lalu.

Presiden syarikat itu, Takekazu Kaneko meminta maaf berhubung kejadian itu pada sidang akhbar di Nagoya.

"Saya meminta maaf kerana menyebabkan kemalangan serius. Saya kini meletakkan keutamaan berhubung kerja-kerja menyelamat," katanya. - Agensi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan