Jumaat, 27 Julai 2012

12 Ditahan Main Judi Online

GOMBAK: Bagaikan tidak menghormati Ramadan, apabila 12 kaki judi sanggup melepaskan gian bermain judi online di sebuah kafe di Taman Jati Rawang, dekat sini malam kelmarin.

Semua mereka ditahan dalam satu serbuan dijalankan Bahagian Urus setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor diketuai Asisten Superintendan Emmi Shah Fadhil.

Emmi Shah berkata, serbuan kira-kira jam 11 malam itu menahan 12 lelaki dan lima daripadanya beragama Islam berusia 15 hingga 52 tahun yang sedang leka bermain judi selain turut merampas 25 komputer.

Menurutnya, remaja lelaki berusia 15 tahun yang ditahan pada mulanya tidak mengaku terbabit dalam permainan judi itu sebaliknya memberi alasan singgah sebentar untuk membuang air kecil.

“Kami turut menahan seorang wanita warga Myanmar dipercayai penjaga premis itu. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati dia pernah ditahan sebelum ini atas kesalahan sama.

“Premis berkenaan turut dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan dipercayai sudah beroperasi sejak dua tahun lalu. Pemilik premis juga membenarkan sesiapa saja masuk untuk bermain judi,” katanya kepada media selepas tamat operasi berkenaan, malam kelmarin.

Beliau berkata, tingkat atas premis itu yang sedang dibaiki juga dipercayai turut akan digunakan untuk menambah komputer bagi tujuan perjudian. Hasil siasatan mendapati nilai taruhan mencecah RM200,000 manakala koleksi pertaruhan sebanyak RM20,000 sehari.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan