SIBU: Gara-gara sepasang bekas suami isteri bergaduh, dua lelaki termasuk seorang pemandu lori ditahan di sebuah rumah di Jalan Nuri malam kelmarin.
Kejadian itu berlaku sekitar jam 8 malam, apabila seorang lelaki bertindak membawa dua rakannya untuk membantunya mengangkut satu set sofa, sistem bunyi, ketuhar dan beberapa pakaian bekas isterinya.
Terdahulu, bekas suami yang berumur sekitar 40-an itu meminta bantuan seorang pemandu lori sewa untuk memunggah barang dengan menyatakan bahawa dia mahu berpindah rumah sahaja.
Tanpa banyak soal pemandu lori itu mengikut sahaja kemahuan lelaki berkenaan untuk pergi ke sebuah rumah di Jalan Nuri.
Bagaimanapun seorang jiran sebelah rumah bertindak menghubungi bekas isteri lelaki tersebut apabila ternampak mereka sedang memunggah barang-barang ke dalam lori pada jam 8 malam kejadian.
Sejurus selepas itu, bekas isteri lelaki itu bergegas pulang ke rumah dan menghubungi polis untuk membantunya memeriksa keadaan di rumahnya.
Apabila sampai di rumah, bekas suaminya dan dua rakannya yang datang bagi kali kedua ke situ terus melarikan diri apabila menyedari bekas isterinya muncul pada jam 9 malam itu.
Pemandu lori sewa yang tidak tahu apa yang berlaku hanya berdiam diri dan terpaku di situ apabila pihak polis bertindak menahannya.
Pihak polis kemudiannya mengikut wanita tersebut pergi ke rumah bekas suaminya di mana seorang lagi lelaki turut ditahan dan semua barangan yang dipunggah dari rumah bekas isteri suspek turut dijumpai.
Polis kini sedang menjejaki bekas suami wanita itu dan seorang lagi rakannya bagi membantu siasatan polis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan