Lawrence
MIRI: Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai menerima dugaan paling mencabar dalam tugasnya apabila beliau menerima ugutan bunuh, akan ditembak mati oleh orang yang mengancamnya.
“Kamu tidak takut pistol? Sasaran seterusnya ialah kamu! Saya akan memberitahu seluruh warga Miri.”
Demikian petikan ancaman yang diterima beliau melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dalam bahasa Mandarin, ketika beliau sedang menghadiri satu mesyuarat di Kuching pada Selasa, 24 Julai lalu.
Lawrence yang tiba di Miri pada pagi keesokannya bagaimanapun cuba untuk tidak melatah dengan ancaman tersebut, sebaliknya meneruskan tugasnya sebagai Datuk Bandar dengan mengadakan lawatan dan tinjauan ke kawasan perumahan serta jalan-jalan raya.
“Bagaimanapun saya terpaksa membuat laporan polis pada hari ini demi keselamatan ahli keluarga saya. Saya juga menyerahkan segalanya kepada pihak polis untuk melakukan siasatan secara terperinci dan menyeluruh terhadap ancaman ini.
“Saya tidak tahu langsung siapa yang menghantar SMS ini dan dari mana. Bagaimanapun semua sumber dan identiti mengenai penghantar SMS ini telah diserahkan kepada pihak polis untuk disiasat,” jelas Lawrence dalam kenyataan medianya di sini semalam.
Beliau juga tidak tahu atas motif apa ugutan itu diberikan kepadanya, bagaimanapun ia dikatakan berkaitan dengan pusat urut dan spa, ekoran tindakan tegas Datuk Bandar itu menangani masalah berkenaan.
Lawrence membuat laporan polis berhubung ugutan tersebut di Balai Polis Pusat Miri di sini, tengah hari semalam.
“Saya juga amat berharap agar pihak polis turut mengambil langkah yang perlu terhadap semua pihak yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan bertulis yang dikeluarkan pada jam 2.40 petang semalam di pejabatnya di sini.
Bagaimanapun Lawrence berkata ancaman bunuh tersebut, sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk terus menjalankan tugasnya sebagai seorang Datuk Bandar dan mengambil tindakan dan langkah yang sewajarnya yang patut dilakukan oleh seorang Datuk Bandar.
“Saya akan meneruskan tanggungjawab dan menjalankan tugas-tugas saya sebagai Datuk Bandar Miri seperti biasa tanpa rasa takut dan pilih kasih,” tambahnya.
Sebaik menyerahkan kenyataan media tersebut kepada wartawan yang menunggu di pejabatnya, Lawrence seperti yang ditegaskannya, terus bergegas ke bilik mesyuarat MBM untuk mempengerusikan mesyuarat Majlis.
Ini bukan kali pertama Datuk Bandar Miri ini menerima ancaman menerusi SMS melalui telefon bimbitnya, tetapi pernah beberapa kali namun tidak diendahkan oleh beliau.
Bagaimanapun ugutan kali ini yang melibatkan ancaman terhadap nyawanya, menyebabkan beliau terpaksa mendapatkan campur tangan polis kerana bimbangkan keselamatan keluarganya.
Lawrence yang juga seorang peguam telah menyandang jawatan Datuk Bandar Miri yang kedua (selepas Miri mencapai status Bandar raya) selama dua penggal, menggantikan Datuk Wee Han Wen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan