KUCHING: Tiga individu beragama Islam yang tidak berpuasa ditangkap kerana makan dan minum di tempat awam oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Sarawak bagi tempoh 1 Ramadan hingga 6 Ramadan tahun ini.
Perkara itu didedahkan oleh Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman menerusi SMS semalam.
“Setakat ini kita sudah menahan tiga orang Islam tidak berpuasa yang makan dan minum di tempat awam pada bulan Ramadan tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai statistik tangkapan orang Islam tidak berpuasa yang makan dan minum di tempat awam pada Ramadan tahun ini.
Baru-baru ini, Daud menegaskan pihaknya akan memperhebatkan pemantauan dengan memperbanyakkan penguat kuasa pada musim Ramadan ini.
Jelasnya, penambahan anggota penguat kuasa juga dilakukan bagi memastikan banyak tempat dapat diawasi dalam usaha mengurangkan bilangan orang Islam tidak berpuasa yang makan dan minum di tempat awam.
“Kami akan terus melakukan pemantauan dari tempat ke tempat. Mungkin kita akan memperbanyakkan penguat kuasa tahun ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program taklimat amil bahagian Kuching dan penyerahan kupon fitrah di Dewan Majlis Islam Sarawak baru-baru ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan