Sabtu, 28 Julai 2012

Cuaca Cabaran Utama Bina Jalan Bario-Ba’ Kelalan

MIRI: Masalah cuaca yang tidak menentu merupakan cabaran utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam membina jalan menghubungkan Bario dan Ba’ Kelalan.

Panglima Briged Ke-9 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Stephen Mundaw berkata, teknologi yang digunakan dalam pembinaan jalan berkenaan amat memerlukan keadaan cuaca baik.

“Pembinaan (jalan Bario-Ba’ Kelalan) sangat mencabar kerana amat bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya kepada Utusan Borneo ketika Program Jiwa Murni di kawasan Bario baru-baru ini.

Menurutnya, teknologi penstabil tanah yang digunakan untuk membina jalan tersebut memerlukan cuaca panas selama tiga atau empat hari bagi memastikan permukaan tanah kering. Bukan setakat itu, cabaran geografi juga salah satu faktor utama dalam pembinaan.

“Terdapat gunung, bukit serta sungai yang kita bakal lalui dalam pembinaan jalan itu nanti. Itu juga cabaran utama,” kata Stephen. Pada masa sama, beliau memberitahu jalan yang bakal dibina itu hanyalah jalan penghubung sahaja.

“Kita hanya buat jalan penghubung sahaja, tidak boleh dibandingkan dengan jalan raya awam yang berturap,” jelas beliau.

Mengenai perkembangan pembinaan jalan tersebut, Stephen memberitahu pemerhatian sudah dibuat dan semua peralatan yang diperlukan telah pun disediakan di kedua-dua tempat.

“Kita jangka pembinaan bermula selepas Hari Raya dan mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk disiapkan sepenuhnya bergantung kepada keadaan,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan