KUCHING: Polis memberkas seorang lelaki warganegara Indonesia setelah memecah masuk sebuah rumah di Kampung Goebilt, Jalan Bako dan cuba melarikan dua telefon bimbit bernilai RM700.
Menurut pemilik rumah, mereka sekeluarga yang terdahulu berkunjung ke rumah saudara, tiba di rumah sekitar jam 10.30 malam apabila mendapati pintu rumahnya terbuka.
Mengesyaki sesuatu tidak betul, pengawal keselamatan yang berusia 47 tahun itu masuk ke rumah untuk memeriksa keadaan.
Bagaimanapun, cubaan suspek untuk menyembunyikan diri di sebalik tirai tidak berjaya apabila kakinya kelihatan dan menjurus kepada penangkapannya.
Cubaan suspek berusia 18 tahun itu untuk melarikan diri juga gagal apabila berjaya ditahan oleh penduduk kampung.
Unit polis peronda kemudiannya dihubungi ke tempat kejadian dan suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching untuk diambil keterangan, sebelum dihantar ke lokap.
Sementara itu, sepasang suami isteri di Jalan Arang mengalami kerugian ribuan ringgit apabila rumah mereka dipecah masuk semasa ketiadaan mereka. Insiden itu disedari oleh ipar mangsa sekitar jam 2 petang, semalam.
Antara barangan yang dicuri adalah sebuah Perodua Myvi bernombor pendaftaran QAF5101 berwarna emas, kunci kereta, beg, tiga utas jam tangan wanita berjenama dan kunci kereta BMW.
Laporan polis dibuat untuk tindakan selanjutnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan