SIBU: Tindakan terhadap peniaga Smoke Candy hanya akan diambil setelah produk terbabit disahkan berbahaya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.
Ketika dihubungi semalam, Wan Ahmad Uzir memberitahu, apabila gula-gula rokok telah disahkan isi kandungannya dan berbahaya kepada umum oleh KKM, pihaknya akan mengambil tindakan serta-merta.
“Sekiranya makanan terbabit mengandungi bahan terlarang atau dibuat dengan bahan berbahaya, kemudiannya diakui oleh KKM sebagai barang berbahaya barulah kami dapat mengambil tindakan,” ujar Wan Ahmad Uzir ketika mengulas mengenai laporan penjualan secara berleluasa gula-gula rokok kepada kanak-kanak yang disiarkan Utusan Borneo semalam.
Katanya buat waktu ini tiada sebarang undang-undang yang membenarkan pihaknya mengambil tindakan kepada perniaga-perniaga yang menjual manisan tersebut.
“Belum ada akta yang membenarkan kami mengambil tindakan ke atas mana-mana produk makanan yang menyerupai atau dibungkus menyerupai kotak rokok,” kata beliau.
Pada masa yang sama, Wan Ahmad Uzir turut menasihati orang ramai terutama ibu bapa yang masih ragu-ragu tentang kandungan gula-gula terbabit agar menasihati anak-anak mereka dan pada masa yang sama mengawasi pembelian yang dilakukan anak-anak mereka bagi mengelak sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.
Menyentuh mengenai bagaimana gula-gula buatan China terbabit boleh berada di pasaran tempatan katanya, pihaknya tidak bertanggungjawab mengawal aliran keluar masuk gula-gula itu kerana ia bukan salah satu daripada bidang kuasa badan terbabit.
“Kemasukan produk-produk dari luar negara merupakan bidang kuasa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersama Jabatan Kastam,” jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan