ARAU: “Datuk berpesan kepada saya supaya menyediakan minuman dan kuih yang sedap kerana mahu berbuka puasa di rumah kami ketika bertemu di pekan Mata Ayer, beberapa minit sebelum kejadian,” kata Nor Amizah Jasmi, 20, cucu Yahaya Kassim, 74, yang maut apabila kereta Proton Wira dipandunya dirempuh kereta api barang di sini, kelmarin.
Nor Amizah berkata, dia berniaga air buah-buahan di bazar Ramadan Balai Baru, Beseri, di sini, apabila datuknya itu datang dan berpesan supaya membuat air yang sedap kerana dia mahu merasainya ketika berbuka puasa kelak.
“Saya hairan juga kerana sebelum ini datuk tidak pernah meninggalkan pesanan sedemikian, namun tidak mengesyaki apa-apa sebelum menerima berita mengejutkan dia terbabit dalam kemalangan beberapa jam kemudian,” katanya.
Katanya, datuknya seorang yang aktif dan tegas, malah sering memandu kereta sendiri jika mahu ke mana-mana selain suka berkebun apabila mempunyai masa lapang.
“Datuk serius dan jarang tersenyum kepada anak-anak serta cucu-cucunya, tetapi semalam (kelmarin) keadaan berbeza, apabila dia menjadi murah dengan senyuman membuatkan saya rasa sedikit kehairanan.
“Saya rasa terkilan kerana tidak dapat memenuhi hajatnya untuk meminum air buah-buahan yang sudah dibuat, tetapi menerima segala ketentuan Tuhan yang lebih menyayanginya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Sementara itu, bapa Amizah yang juga anak sulung Yahaya, Jasmi, 52, berkata, arwah pernah bercakap secara berseloroh bahawa dia mahu pergi dengan mudah dan tidak mahu menyusahkan anak-anak mahupun saudara-mara jika meninggal dunia.
“Pada mulanya, saya tidak berasa pelik dengan kata-katanya kerana kami sekadar berbual-bual kosong di rumah dan tidak menyangka kata-katanya menjadi kenyataan apabila arwah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya pada Ramadan ini.
“Saya menerima panggilan telefon daripada emak, Rosnah Abdullah, 72, pada petang semalam (kelmarin) lalu diminta melihat keadaan ayahnya yang terbabit kemalangan dan menyangka mungkin terbabit kemalangan biasa.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, baru saya menyedari kereta dipandu ayah sudah dirempuh kereta api dan saya sempat memanggil namanya lalu dia memberi reaksi menggenggam erat tangan saya sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk rawatan,” katanya.
Keadaan kereta mangsa yang remuk selepas dirempuh kereta api
Tiada ulasan:
Catat Ulasan