Sabtu, 28 Julai 2012

Wabak Kolera Di Bintulu Dalam Keadaan Terkawal

BINTULU: Wabak kolera atau taun di Bintulu masih berada dalam keadaan terkawal di mana segala langkah perlu telah diambil untuk membendungnya daripada terus merebak, kata Pegawai Bertugas di Bilik Operasi Penyakit Kolera Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu ketika dihubungi semalam.

Sumber daripada bilik operasi terbabit berkata, ia dibuka dari jam 8 pagi hingga 10 malam setiap hari sejak 19 Julai lalu dalam usaha mencegah serta mengawal penyakit itu.

Dalam pada itu, orang awam di sini yang mengalami simptom cirit-birit, muntah-muntah serta demam dinasihati agar mendapatkan rawatan di klinik berdekatan atau datang ke Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu bagi menjalani saringan kesihatan kolera.

Bilik operasi penyakit kolera juga menasihatkan masyarakat awam sekitar sini agar mengambil langkah-langkah pencegahan seperti minum air yang dimasak, tidak minum minuman sejuk, makan makanan yang baru dimasak, elakkan makan ulam-ulaman atau yang tidak dimasak, elakkan makan makanan terdedah dan mentah, tudung semua makanan agar tidak dihingapi lalat serta bersihkan kawasan sekeliling rumah dan hapuskan tempat pembiakan lalat, lipas dan tikus.

Para pengusaha bazar Ramadan di kawasan Bintulu turut dinasihatkan agar sentiasa mengutamakan aspek kebersihan sama ada dalam penyediaan makanan serta minuman yang dijual atau tapak tempat mereka berniaga bagi memastikan menu disediakan selamat untuk dimakan serta bebas dari sebarang pencemaran yang boleh mengakibatkan masalah keracunan makanan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Masyarakat Dato Sri Wong Soon Koh baru-baru ini berkata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) telah menerima maklumat pertama kes terbabit yang pada mulanya hanya diklasifikasikan sebagai kes keracunan makanan dengan empat daripadanya telah dimasukkan ke wad Hospital Bintulu.

Katanya, salah seorang pesakit yang dimasukkan ke Hospital Bintulu telah disahkan positif vibrio cholera pada 14 Julai dan sejak itu, ia mula merebak di kawasan Bintulu yang mana setakat ini JKN mengesahkan 33 daripada 140 kes disahkan positif dijangkiti wabak berkenaan.

Untuk maklumat atau sebarang pertanyaan mengenai saringan kesihatan kolera ini sila hubungi bilik operasi penyakit kolera, Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu menerusi talian 086-315235 atau telefon bimbit bilik operasi (010-5915918).


Tiada ulasan:

Catat Ulasan