Isnin, 30 Julai 2012

Suami isteri Reda Anak Tunggal Hadapi Masalah Kesihatan Kronik

ALOR SETAR: Sepasang suami isteri dari Kampung Kubang Rotan, Kuala Kedah, dekat sini tetap reda walaupun kelahiran cahaya mata sulung yang dinanti selama 10 tahun mengalami masalah kesihatan kronik.

Bayi Noor Hashimuddin Kamaruddin, 40, dan isterinya, Nor Zainaliza Hashim, 36, yang dilahirkan sembilan bulan lepas tidak boleh menelan air liur kerana masalah paru-paru dan memerlukan rawatan khusus serta penjagaan rapi.

Menurut Noor Hashimuddin, isterinya terpaksa melahirkan Siti Nor Aliya Sofea melalui kaedah pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini semasa kandungan berusia lapan bulan kerana khuatir anaknya boleh lemas akibat terbelit tali pusat di kaki.

Sejak dilahirkan, bayi itu menjalani rawatan khas di HSB ekoran masalah kesihatan serius dan hanya dibawa pulang ke rumah seorang saudaranya di perumahan Mergong Jaya Fasa 2, di sini empat hari lepas, katanya.

“Siti Nor Aliya perlu dikuarantin dalam bilik berhawa dingin. Sedikit pencemaran boleh menyebabkan kesihatannya terjejas kerana paru-parunya amat sensitif,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Naib Ketua UMNO bahagian Kuala Kedah Datuk Abdul Mutholib Harun, semalam.

Selain itu Siti Nor Aliya Sofea diberi minum susu menerusi tiub dan bergantung kepada mesin penyedut kahak kerana tidak boleh menelan air liur, kata Noor Hashimuddin peniaga barangan telefon bimbit di bandar raya ini.

Beliau mengharapkan orang ramai dapat memberi sumbangan bagi membolehkannya menyediakan bilik khas dan menyediakan peralatan penjagaan untuk anaknya di rumah ibu mentuanya di Kampung Kubang Rotan yang mencecah kos RM10,000.

Sementara itu, Abdul Mutholib selaku Anggota Lembaga Pelawat HSB, berkata beliau akan merujuk kepada Unit Kerja Sosial HSB untuk melihat bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada keluarga Noor Hashimuddin.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Noor Hashimuddin di talian 019-3010806 atau menerusi akaun Maybank beliau bernombor 152095601195 - Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan