Isnin, 30 Julai 2012

Bekerjasama Elak Penularan Kolera

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) akan bekerjasama erat dengan Jabatan Kesihatan Bahagian Miri dan agensi berkaitan bagi mengelakkan wabak kolera merebak di bandar raya ini berikutan penularan wabak itu di Bintulu.

Datuk Bandar Lawrence Lai berkata, walaupun setakat ini tiada kes diterima, namun pihaknya tetap mengambil langkah berjaga-jaga.

“Kami akan bekerjasama dengan semua pihak terutama Jabatan Kesihatan Bahagian Miri untuk memastikan tempat awam seperti bazar Ramadan bersih,” katanya kelmarin sambil menambah pengusaha gerai Ramadan wajib mengambil vaksin Typhoid sebelum memulakan operasi mereka.

Sebelum ini, kaunselor semasa mesyuarat menimbulkan kebimbangan mengenai wabak itu di Bintulu yang dikhuatiri akan merebak dengan meluas di seluruh negeri termasuk bahagian Miri.

Sementara itu, Kaunselor Dr Philip Raja berkata, kolera yang merupakan wabak bawaan air itu mudah berjangkit dan penjagaan kebersihan merupakan cara paling berkesan untuk menghindarinya.

Baru-baru ini, Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Dato Sri Wong Soon Koh mengesahkan penularan wabak kolera di Bintulu selepas Jabatan Kesihatan Negeri mengenal pasti kuman Vibrio Cholerae pada 14 Julai lalu.

Berdasarkan siasatan jabatan itu, wabak berkenaan bermula apabila tiga kumpulan regata dari Rumah Gawan, Kampung Jepak dan Kampung Hilir di Sebauh, Bintulu menggunakan air dari Sungai Kemena untuk membersihkan pinggan, ikan dan tangan mereka.

Bakteria dari sungai tersebut mencemari makanan dan tangan semasa regata dan kemudian berjangkit dari seorang ke seorang selain mencemari makanan dan minuman.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan