Sabtu, 28 Julai 2012

Kebakaran Ranapkan Impian Beraya Di Rumah Baru


SARATOK: Sebuah keluarga terpaksa melupakan hasrat untuk berhari raya di rumah baharu apabila rumah mereka yang sedang dinaik taraf musnah dalam kebakaran di sini tengah hari semalam.

Kebakaran yang berlaku sekitar jam 11.50 pagi itu memusnahkan sebuah rumah dua tingkat di Kampung Melango Lama Saratok.

Ketika kejadian, pemilik rumah Iman Abang, 59, bapa kepada lima anak sedang menaik taraf rumah mereka bersama anak keduanya, Zamri Iman, 27.

“Saya bersama bapa sedang sibuk menyimen dan mengecat rumah kami, apabila terdengar anak jiran kami berteriak mengatakan ada kebakaran,” kata Zamri.

“Terkejut dengan jeritan itu, kami bergegas keluar dan melihat apa yang berlaku. Dalam masa yang sama terhidu bau seperti benda terbakar,” ujarnya.

Terkejut melihat api yang mula marak, dua beranak yang dalam keadaan kelam-kabut itu memanggil ahli keluarga yang berada di dalam rumah untuk menyelamatkan diri dan dalam masa yang sama Iman telah masuk untuk menyelamatkan isterinya, Rosiah Salmah, 49.

Jiran yang mendengar Zamri menjerit meminta pertolongan turut bergegas membantu sekadar terdaya memadamkan api yang mulai marak dengan cepat.

Penduduk kampung bertindak membantu untuk memadam kebakaran dengan menggunakan baldi dan bekas air lain namun mereka hanya berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah penduduk berdekatan.

Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Saratok yang menerima panggilan kecemasan sekitar jam 12.10 hanya sampai 20 minit kemudian.

Mereka bagaimanapun gagal menyelamatkan apa-apa kerana semua barang kelengkapan rumah habis musnah dijilat api.

Ketua Balai Bomba Saratok, Suna Kaha yang turut mengesahkan kejadian itu sekadar mengandaikan kebakaran mungkin berpunca daripada litar pintas daripada tingkat atas rumah terbabit. Namun siasatan lanjut akan dilakukan untuk mengetahui punca sebenar kejadian.

Zamri turut memberitahu kesemua barangan dan dokumen penting kecuali salinan kad pengenalan keluarganya musnah dalam kejadian tersebut dan buat sementara waktu mereka akan menginap di rumah jiran dan sanak saudara.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan