KUALA LUMPUR : Sukar sebenarnya untuk berselindung di kala hati sedang diulit cinta. Barangkali, itulah yang dirasai aktor kacak, Bront Palarae hingga akhirnya dia membuat pengakuan bahawa sebenarnya sudah punya kekasih hati.
Begitupun, Bront Paralae yang cukup berhati-hati untuk berkongsi kisah peribadinya kepada umum itu berkaTa dia lebih selesa tidak begitu terbuka bercerita mengenai kekasih yang selama ini dicintainya.
“Sebagai seorang manusia yang normal, saya akui saya sedang mencintai dan dicintai oleh seorang wanita yang selami ini menjadi kekasih saya. Namun, saya tidak selesa jika kisah peribadi saya diketahui umum kerana saya juga seperti manusia biasa yang mahukan privasi.
“Lagipun, saya tidak nampak apa fungsi saya bercerita mengenai kisah peribadi kepada umum kerana ia tidak memberi kebaikan kepada sesiapa pun. Walau bagaimana pun, saya tidak akan berselindung untuk memberitahu umum bila kami ditakdirkan akan berkahwin nanti” katanya.
Menurut pelakon Jiwa Taiko ini lagi, cukuplah dia berkongsi mengenai kariernya kerana dia berpendapat peminat selama ini meminatinya hanya atas dasar meminati lakonannya sahaja dan bukan dirinya secara peribadi.
“Saya rasa peminat lebih suka hendak tahu mengenai karier saya berbanding peribadi kerana mereka meminati lakonan saya dan bukan diri saya. Malah mereka mengenali saya hanya menerusi lakonan saya dan bukan diri saya sebenar.
“Jika ada yang sukakan saya dan hendak bergambar dengan saya, itu saya hargai kerana maksudnya mereka mahu jadikan gambar itu sebagai cenderahati daripada karakter yang saya bawakan di dalam mana-mana drama atau filem,” jelasnya lagi.
Mengenai perkembangan Bront yang lain, dia kini berada di Terengganu bagi menjalani penggambaran filem Jwanita arahan Osman Ali bersama pelakon lain seperti Maya Karin, Cristina Suzanne dan ramai lagi sejak 3 minggu lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan