Selasa, 31 Julai 2012

14 Orang Islam Tidak Hormati Bulan Ramadan Ditahan


KUCHING: Seramai 14 orang Islam yang tidak menghormati bulan Ramadan ditahan kerana didapati makan di tempat awam sepanjang tempoh 1 hingga 10 Ramadan.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datuk Daud Abdul Rahman berkata, dua bahagian mencatat jumlah tangkapan tertinggi iaitu Kuching dan Samarahan masing-masing empat orang. Manakala selebihnya di Miri melibatkan tiga orang, Betong dua orang dan Mukah seorang.

Beliau menjelaskan, ke-semua mereka yang tidak berpuasa itu ditangkap atas kesalahan makan, minum dan merokok di tempat awam.

“Setakat hari ini (semalam), seramai 14 orang Islam sudah ditangkap, jadi saya berharap mereka ini dan masyarakat Islam yang lain menghormati bulan yang mulia ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) ketika diminta mengulas mengenai perkara itu.

Jelasnya lagi, kesemua yang ditangkap akan didakwa di Mahkamah Syariah yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, Daud menegaskan bahawa pihaknya mengambil berat terhadap individu Islam yang melakukan kesalahan tanpa mengira status warganegara atau bukan warganegara.

“Justeru, beliau menasihati semua umat Islam di negeri ini agar menghormati bulan Ramadan dengan tidak makan di khalayak ramai,” ujarnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan