BAU: Kecurigaan orang awam terhadap sebuah motosikal yang ditinggalkan sejak beberapa hari lepas di tepi sebuah semak di sini terjawab selepas pemiliknya ditemui mati lewat petang kelmarin.
Menurut jurucakap polis, mayat mangsa yang dikenali sebagai Roslan, 54, itu ditemui ketika pihak polis menjalankan pemeriksaan di kawasan tersebut di Jalan Sebuku, di sini sekitar jam 4.30 petang Rabu lepas.
Tambahnya, pihaknya telah menerima laporan daripada orang awam berhubung sebuah motosikal yang mencurigakan di mana ia telah ditinggalkan di tepi semak tersebut sejak beberapa hari lepas.
Bertindak atas laporan tersebut sepasukan anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Bau telah bergegas ke tempat kejadian yang membawa kepada penemuan mayat mangsa di tepi sebuah sungai tidak jauh dari tempat motosikal tersebut diletakkan.
“Mayat mangsa ditemui terbaring dengan muka menghadap ke tanah dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati mangsa dipercayai pengsan sebelum rebah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Menurutnya juga, mangsa dipercayai berasal Bau dan sering memasuki hutan terutamanya kawasan yang mempunyai sungai untuk memancing.
“Dipercayai mangsa seorang diri semasa kejadian dan hasil siasatan awal mendapati kemungkinan mangsa mengalami masalah jantung,”katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan