Selasa, 31 Julai 2012

Pasar Malam Miri Dibuka Malam Ambang Merdeka


Gambar Hiasan

MIRI: Pasar Malam Miri yang dicadang untuk dibuka 2 Ogos pada awalnya, akan dibuka menjelang sambutan Ambang Merdeka pada malam 30 Ogos kelak.

Pembukaan pasar malam itu juga, bagi meraikan Hari Kemerdekaan negara pada 31 Ogos, kata Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri(MBM) Lawrence Lai.

Beliau mengesahkan pihaknya menerima lebih 100 permohonan untuk berniaga di pasar malam berkenaan bagaimanapun terpaksa dihadkan kepada 100 peniaga sahaja kerana ruang yang terhad.

“Pada awalnya kami hanya menawarkan 66 lot untuk berniaga namun sambutan amat menggalakkan dan lebih 100 permohonan telah dihantar.

“Justeru bagi menghargai sokongan ini, maka kami terpaksa membuka satu lagi lorong iaitu bersebelahan dengan Plaza Yu Lan bagi membolehkan ia menampung sehingga 100 orang peniaga,” jelas beliau.

Kawasan Pasar Malam Miri yang dirancang ialah di sepanjang Jalan Brooke yang terletak di antara Pasar Central dan Pasar Perpaduan(Unity Market).

Lawrence memberitahu, sehingga tarikh tutupnya pada minggu lepas, sebanyak 62 permohonan telah dihantar menerusi Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Miri (MCCCI), 40 permohonan lagi menerusi Persatuan Bumiputera Miri Sarawak (PBMS).

Manakala permohonan secara individu yang dihantar terus kepada pihak MBM ialah sebanyak 32 permohonan iaitu 14 daripada peniaga Cina, 11 peniaga Melayu dan tujuh peniaga Iban.

Beliau yang berharap kewujudan pasar malam itu kelak akan menghidupkan kembali suasana malam di pusat bandar selain menjadi salah satu tarikan pelancong, memberitahu Pasar Malam Miri akan beroperasi setiap hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, bermula dari jam 5 petang hingga 11 malam.

Pelbagai barangan, kraf tangan dan makanan akan dijual di pasar malam itu kelak, bagaimanapun binatang hidup ataupun daging dan ikan segar adalah dilarang.

Selain bakal menjadi salah satu tarikan pelancong yang datang ke Miri, pasar malam tersebut kelak bakal menyediakan peluang ekonomi untuk penduduk atau peniaga tempatan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan