Selasa, 31 Julai 2012

Bekerjasama Tangkap Individu Jual Mercun


MIRI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bekerjasama bagi menangkap individu yang menjual mercun secara terbuka pada musim perayaan.

Aktivis Sosial Wan Zain Syed Mohdzar berkata, kedua-dua agensi itu perlu agresif dalam menangkap individu yang memiliki, menyimpan, menjual, membawa atau bermain mercun.

“Baru-baru ini, beberapa kanak-kanak telah cedera parah selepas bermain mercun dan kejadian sebegini berlaku hampir setiap tahun terutama melibatkan orang Melayu,” katanya.

Beliau memberitahu, bermain mercun bukan budaya orang Melayu beragama Islam sebaliknya ia merupakan budaya dan tradisi masyarakat Cina semasa menyambut Tahun Baharu Cina.

“Tidak perlulah orang Melayu bermain mercun kerana ia bukan budaya kita kerana setiap kali sambutan Hari Raya Aidilfitri, hanya orang Melayu sahaja yang menjadi mangsa letupan mercun,” ujarnya.

Beliau memberitahu, agensi kerajaan perlu mengenakan tindakan lebih tegas termasuk menggunakan akta yang sedia ada bagi memantau penjualan mercun secara terbuka kepada orang ramai.

Dalam masa sama katanya, agensi kerajaan juga perlu memantau semua jalan tikus di kawasan sempadan khasnya bagi kes-kes penyeludupan mercun dari negara jiran.

“Mercun tidak akan sampai ke Sarawak sekiranya tiada permintaan dan pihak kerajaan perlu mengawasi kawasan sempadan supaya tiada kes penyeludupan mercun secara berleluasa,” katanya.

Menurutnya, pengawasan bukan sahaja perlu dilakukan di sempadan tetapi juga di kawasan perumahan dan kampung-kampung khasnya di kawasan kediaman orang Melayu.

“Ia adalah kawasan panas kerana setiap kali musim perayaan, individu yang memiliki bekalan mercun ini akan menjual bahan letupan itu apabila mendapat permintaan tinggi daripada penduduk setempat,” katanya.

Dalam kejadian di Alor Setar, Kedah kelmarin, dua termasuk seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun cedera akibat terkena serpihan 40 biji mercun bola yang meletup di Kampung Kuala Kangkong.

Meskipun ia hanya berlaku di Semenanjung Malaysia, tidak mustahil Sarawak akan mencatat kes sama sekiranya pemantauan dan pengawasan penjualan mercun tidak dilakukan secara agresif.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan