Jumaat, 27 Julai 2012

Judi Siber Tanpa Lesen Dilumpuhkan


BINTULU: Empat lelaki tempatan berumur 30-an diberkas dan 13 mesin judi termasuk peralatannya dirampas oleh polis Bintulu kerana disyaki menjalankan kegiatan judi siber tanpa lesen dalam serbuan yang dilakukan ke atas dua premis judi haram di pusat bandar di sini pada 24 Julai lalu.

Serbuan atas kesalahan di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi 1953 itu diketuai oleh Insepktor Azril dan sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM20,000 untuk sebuah mesin judi terbabit.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Madang Usat berkata, empat yang ditangkap itu adalah membabitkan penjaga dan pekerja premis terbabit.

“Sepanjang tahun ini sejak Februari lalu, polis Bintulu telah menyerbu 10 premis judi yang disyaki menjalankan kegiatan mesin judi haram dan kami telah menangkap 35 orang dalam serbuan itu,” ujarnya dalam sidang media di Balai Polis Pusat di sini semalam. Beliau berkata, sebanyak 87 set komputer yang digunakan untuk kegiatan judi itu telah dirampas.

Justeru Madang menasihati orang awam agar tidak mengunjungi tempat hiburan yang menyediakan mesin judi yang tidak mempunyai lesen memandangkan pihak polis akan mengambil tindakan dari semasa ke semasa.

Ujarnya, ibu bapa juga dinasihati agar tidak membiarkan anak-anak bermain apa jua jenis mesin judi kerana ia tidak mendatangkan sebarang kebaikan kepada sesiapa termasuk kepada anak-anak yang terlibat.

Kebanyakan serbuan yang dilakukan adalah membabitkan rumah kedai justeru beliau meminta agar pihak berkuasa tempatan di sini turut dapat mengambil tindakan yang sesuai seperti mana yang termaktub dalam undang-undang tempatan.

“Kami tidak akan membenarkan sama sekali permainan mesin judi ini namun di sini keadaannya masih terkawal,” katanya.

Mengenai judi sabung ayam katanya, ia adalah kesalahan di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Penganiayaan Binatang 1962.

Dalam perkembangan lain beliau menasihati umat Islam supaya berhati-hati ketika memandu di jalan raya sempena bulan Ramadan dan ketika mengunjungi sanak saudara serta pastikan keadaan rumah sentiasa selamat.

“Ini disebabkan pada waktu sekarang keadaan jalan raya agak sibuk terutamanya yang ingin membeli-belah dan bagi yang mengunjungi bazar Ramadan pula diingatkan agar berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa ragut dan jenayah,” katanya.

Madang berkata, meskipun kejadian jenayah ragut di sini rendah dan terkawal namun kita tidak ingin melihat dan membiarkan walau satu kes pun berlaku pada bulan puasa ini dan sebolehnya sifar.

Justeru katanya, mereka yang ingin mendapat bantuan berkaitan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu atau Bilik Gerakan di talian 086-331102.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan