Ahad, 29 Julai 2012

Rahsiakan Identiti Suami Punca Kebahagiaan Rosnah Mat Aris



PETALING JAYA : Pelakon Rosnah Mat Aris menganggap keputusan untuk tidak mendedahkan identiti suaminya antara faktor rumah tangga yang dibina selama lima tahun itu bahagia dan bertahan tanpa sebarang pergaduhan besar.

Rosnah, 57, berkata, sifat privasi itu dibuat agar perkahwinannya dengan Tajul Efendie Isa atau lebih dikenali sebagai Blue, 30, tidak dijadikan bahan bualan negatif lebih-lebih kerana jurang usia berbeza di mana sedikit sebanyak mampu mengganggu rumah tangga mereka.

“Syukur Alhamdulillah, sudah lima tahun kami bergelar suami isteri dan sepanjang perhubungan ini belum pernah lagi ada pergaduhan besar. Mungkin sikap privasi saya yang enggan mendedahkan suami antara satu sebab kami hidup tenang tanpa sebarang gangguan,” katanya.

Rosnah ditemui pada majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim Baitul Fitrah di Hotel Royale Bintang, Damansara dekat sini baru-baru ini.

Tambah pelakon itu, walaupun mempunyai perbezaan umur 26 tahun, namun dia dan suaminya tidak pernah meletakkan angka usia itu sebagai sepadan dalam menjalani kehidupan rumah tangga.

Malah, Rosnah tidak sangka bahawa suaminya mampu mengubah dirinya kepada seorang yang pemaaf dan lemah lembut.

“Walaupun usia suami jauh lebih muda, tetapi fikirannya lebih matang daripada saya. Dia mampu membimbing saya menjadi isteri yang lebih matang. Antara sebab lain kebahagiaan kami masih kukuh kerana dia juga mengajar saya untuk berbincang setiap kali masalah timbul dan ia harus diselesaikan pada masa itu juga. Maka tiadalah dendam pada keesokan harinya,” kata Rosnah lagi.

“Selain itu kata-kata maaf juga penting. Walaupun adakala masalah yang timbul bukan berpunca daripada diri kita, namun tak ada ruginya untuk meminta maaf. Tidak seperti saya yang dahulunya terlalu mengikut emosi dan suka bermasam muka sehingga berhari-hari,” ujarnya.

Dalam pada itu, dia juga bersyukur apabila pihak keluarga Blue tidak pernah memandang rendah terhadap Rosnah, malah kehadirannya yang menceriakan lagi keluarga mereka.

Rosnah dan Blue telah mendirikan rumah tangga pada 13 November 2007 di Masjid Al Khairiah Taman Sri Gombak.

Statusnya dipertikai dan menjadi kontroversi apabila Rosnah menafikan tentang perkahwinannya itu dan tidak lama kemudian, Rosnah akhirnya mengaku bahawa dia sudah bernikah dengan lelaki muda berkenaan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan