Sabtu, 28 Julai 2012

Diragut Ketika Tunggu Masa Berbuka

ALOR GAJAH: Seorang wanita warga emas terpaksa menggunakan seluruh kudrat tuanya dalam usaha menghalang peragut melarikan rantai tangannya dalam kejadian di Kampung Paya Datuk, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.15 petang, mangsa, Kalsom Ahmad, 62, yang menunggu waktu berbuka puasa di beranda rumahnya didatangi dua lelaki menaiki Perodua Kancil berwarna putih.

Menurut Kalsom, dia yang berada di beranda rumah melihat kenderaan itu masuk ke jalan mati berhampiran rumahnya.

“Kereta itu kemudian berpatah semula ke lorong arah rumah saya sebelum seorang lelaki keluar ke arah saya. Bimbang lelaki itu berniat jahat, saya bangun dan cuba masuk ke dalam rumah.

“Lelaki itu kemudian merentap rantai tangan saya dengan kuat dan saya cuba menghalang, namun tidak berdaya,” katanya di sini, semalam.

Katanya, selepas merentap rantai tangan, lelaki yang tidak memakai topeng muka itu terus berlari ke arah kereta dinaikinya sebelum melarikan diri bersama rakannya.

“Pada masa sama saya menjerit sekuat hati sebelum anak saudara, Zailani Ahmad, 49, yang tinggal tidak jauh dari rumah berlari untuk membantu,” katanya yang kerugian kira-kira RM2,000.

Sementara itu, Zailani berkata, ketika sedang mengopek buah kelapa di rumah, dia melihat Perodua Kancil itu berpatah balik selepas memasuki jalan mati.

“Mulanya saya perhatikan saja kerana beranggapan pemandunya tersesat jalan. Sambil mengopek kelapa saya sempat melihat nombor pendaftaran kereta itu dan menyalinnya di atas kertas.

“Pada masa sama saya lihat mereka berborak kuat sambil menunjuk isyarat tangan kononnya sedang mencari arah jalan sebelum seorang lelaki menunjuk ke arah rumah ibu saudara saya,” katanya. Menurutnya, tidak berapa lama kemudian dia terdengar jeritan kuat mangsa.

Dia kemudian bergegas ke rumah ibu saudaranya sebelum melihat mangsa tersandar pada kerusi di luar rumah sambil memegang tangan kirinya yang bengkak dan lebam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, polis kini giat memburu dua suspek menjadikan warga emas sebagai sasaran ragut mereka.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan