Isnin, 30 Julai 2012

Cemas Rumah Dimasuki Perompak Bersenjata

KUCHING: Sepasang suami isteri warga emas menempuhi detik mencemaskan selepas rumah mereka dimasuki perompak bersenjatakan pisau awal malam Jumaat lalu.

Kedua-dua mangsa yang masing-masing berusia 76 dan 73 tahun semasa kejadian dikatakan bersendirian di rumah mereka yang terletak berhampiran Pejabat Unit Peronda Polis (MPV) Kuching sekitar jam 8 malam.

Menurut sumber, dua lelaki yang tidak dikenali telah memasuki rumah keluarganya itu dengan merosakkan pintu hadapan menggunakan alat tajam.

“Si suami yang baharu keluar dari bilik air semasa kejadian terkejut selepas terlihat dua lelaki bertopeng dan bersenjatakan pisau berada di ruang tamu rumahnya.

“Tambah memeranjatkan si suami apabila seorang daripada lelaki tersebut dilihat mengacukan pisau ke arah isterinya dan meminta mereka mengikut arahan daripada mereka,” Katanya

Tambahnya, seorang daripada lelaki tersebut kemudian mula menyelongkar rumah tersebut dan seorang lagi menjaga pergerakan mangsa.

Selepas kira-kira 20 minit insiden tersebut, kedua-dua perompak tersebut segera melarikan diri dari tempat kejadian menggunakan sebuah kereta di mana kelihatan seorang lagi lelaki sedang menunggu mereka di dalam kereta.

Selepas memeriksa, mangsa mendapati suspek telah melarikan wang tunai RM2,000, 400 matawang China dan 300 matawang Singapura.

Menurut anak mangsa yang tiba di tempat kejadian sejurus dimaklumkan oleh bapanya mengenai insiden tersebut, mereka tinggal di situ sejak tahun 1971 dan ini adalah kejadian pertama yang menimpa keluarga mereka.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan