Sabtu, 28 Julai 2012

Redah Longkang Demi Hidup

Pembersih longkang tidak kisah pandangan masyarakat asal dapat sara diri dan keluarga

SIBU: Tatkala rakan-rakan seusianya menelaah buku pelajaran di sekolah, lain pula bagi Seniwati Erca, 16, apabila beliau mengharungi air longkang yang kotor bagi kelangsungan hidup.

Mungkin pekerjaan yang dilakukan menjijikkan pada pandangan segelintir masyarakat, namun bagi Seniwati, beliau tidak kisah dengan kerjanya membersihkan longkang.

Bersama beberapa rakan sekerja yang jauh lebih berusia daripadanya, anak muda ini dilihat tekun melakukan pekerjaan menyodok kelodak di dalam longkang ke dalam karung guni.

Menurut Seniwati, beliau tidak kisah dengan kerjanya itu yang mungkin menjijikkan pada pandangan segelintir masyarakat kerana apa yang lebih penting, beliau melakukannya dengan kemahuan sendiri.

Beliau yang bersekolah hingga ke Tingkatan Satu juga memberitahu, tidak malu melakukan pekerjaan terbabit kerana ingin mencari rezeki yang halal bagi menyara diri dan juga keluarga.

“Asalkan kita tidak mencuri,” ujar Seniwati ketika ditemui semalam. Beliau berasal dari Daro dan menyewa di Jalan Tong Sang di sini bersama ahli keluarganya yang lain.

Difahamkan, beliau baharu melakukan pekerjaan tersebut sejak dua bulan lepas dengan upah sebanyak RM20 sehari. Mereka bekerja dari jam 7 pagi hingga 4 petang.

Menurut seorang rakan sekerjanya, Haijan Hayati, 59, pekerjaan mereka itu sememangnya kotor kerana terpaksa berdepan dengan air longkang yang sedia maklum diketahui tahap kebersihannya.

“Walaupun kotor, kita harus melakukannya,” ujarnya yang baharu setahun bekerja dengan pendapatan sebanyak RM30 sehari.

Haijan yang berasal dari Batu 20, Jalan Oya memberitahu, beliau tidak kisah dengan pandangan segelintir masyarakat yang mungkin berfikiran negatif terhadap pekerjaan yang mereka lakukan itu.

“Tidak kira kotor atau tidak. Kami cuma ingin mencari makan dengan cara yang betul. Selagi rezeki yang kami perolehi adalah halal,” ujarnya.

Beliau memberitahu, pekerjaan itu amat meletihkan terutama kepada mereka yang telah berusia sepertinya, lebih-lebih lagi ketika panas terik mahupun hujan.

“Keadaan ini kadangkala menyebabkan kami jatuh sakit,” katanya yang menyewa rumah bersama ahli keluarga yang lain di Jalan Tiong Hua.

Menurut Haijan, dengan pendapatan RM30 sehari, tidak mencukupi bagi menampung kehidupan seharian, lebih-lebih lagi dibebani harga barangan keperluan yang semakin mahal.

Selain itu, katanya, mereka juga terpaksa membayar sewa rumah dan keperluan harian yang lain, termasuk makan minum.

“Gaji yang diberikan memang tidak mencukupi. Namun hanya inilah pekerjaan yang mampu kami lakukan,” tambah beliau ketika ditemui membersihkan longkang di Lorong Merdeka 16, Taman Rejang, semalam.

Namun demikian, tugas mereka ini wajar mendapat penghargaan masyarakat kerana khidmat mereka inilah yang memastikan keadaan longkang tidak tersumbat, sekali gus menghalang banjir kilat daripada berlaku, selain memastikan kebersihan di kawasan terbabit.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan