Isnin, 30 Julai 2012

Asmah Derita Penyakit Kulit Misteri

Penyakit kulit misteri yang ditanggung Asmah 

KUALA LUMPUR – Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Begitulah penderitaan ditanggung seorang suri rumah yang mahu dikenali sebagai Asmah Mian, 51, ekoran penyakit kulit misteri dialaminya sejak dua tahun lalu.

Penyakit tersebut mula disedarinya di bahagian kiri dahi yang ditumbuhi bintik-bintik seperti jerawat dan ia semakin membesar sehingga kini dia hanya mampu terlantar kesakitan.

Menurut anak keduanya, Nur Haslindawati Rosli, 25, sebelum itu ibunya tidak pernah mengalami sebarang penyakit malah sentiasa aktif dengan aktiviti kemasyarakatan.

“Mulanya bintik-bintik itu tumbuh biasa sahaja tetapi lama kelamaan ia membesar sebesar duit 50 sen. Kemudian, dalam tempoh dua minggu, seluruh tubuh mula timbul bintik-bintik merah seperti penyakit campak. Sejak itu, keadaan mak saya semakin serius,” katanya ketika ditemui di Flat Projek Perumahan Rakyat Taman Mulia, Bandar Tun Razak di sini semalam.

Nur Haslindawati menerangkan, ibunya pernah dirawat di Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut tetapi pihak hopsital menemui jalan buntu kerana doktor turut tidak dapat mengenal pasti penyakit sebenar yang dialami.

“Doktor pernah ambil sampel kulit emak saya tetapi tiada keputusan diperoleh daripadanya, sejak itu, emak hanya bergantung kepada ubat tahan sakit dan krim,” jelasnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan