Selasa, 31 Julai 2012

Ditangkap Jual Nasi Bungkus

Penguatkuasa MBAS memeriksa  gerai menjual makanan kepada orang Islam tidak berpuasa 

ALOR SETAR – Jual nasi bungkus kepada orang tidak berpuasa pada harga pakej menggunakan kereta di lokasi tersembunyi di tepi tapak pembuangan sampah haram.

Itu yang dilakukan seorang lelaki berusia 55 tahun dipercayai untuk mendapatkan wang lebih pada bulan Ramadan ini.

Bagaimanapun, rahsia lelaki itu terbongkar apabila Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menyerbu kereta jenis Proton Saga miliknya yang diletakkan di belakang deretan bangunan berhampiran Terminal Bas Shahab Perdana di sini semalam.

Dalam serbuan Operasi Ramadan kira-kira pukul 12 tengah hari itu, lelaki terbabit sedang menunggu pelanggan dan hasil pemeriksaan di dalam kereta menemui masing-masing 50 bungkus nasi berlauk dan minuman.

Kesemua makanan dan minuman tersebut disembunyikan di dalam beberapa bungkusan plastik berwarna hitam yang diletakkan di tempat duduk belakang dan but kereta.

Difahamkan, nasi bungkus dijual antara RM5 hingga RM7 mengikut jenis lauk kepada pekerja di kawasan sekitar yang kebanyakannya pekerja bengkel.

Dalam operasi berasingan yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah dan Jabatan Kesihatan negeri itu, MBAS menyerbu sebuah gerai ditutupi kain kanvas di tepi Jalan Gangsa di sini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan