Isnin, 30 Julai 2012

Empat Maut Kemalangan Ngeri

Keadaan kereta Proton Wira yang remuk hingga mengakibatkan empat maut 

KUANTAN – Hasrat lima sekawan untuk pulang ke kampung di Dungun, Terengganu dari ibu negara berkecai apabila empat daripadanya maut manakala seorang lagi kritikal apabila kereta jenis Proton Wira yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan ngeri kelmarin.

Kejadian di Kilometer 18, Jalan Pintasan Kuantan di sini pada pukul 11.15 malam itu mengakibatkan seorang remaja lembam, Ahmad Nazrin Hafizi Abd. Latif, 19; sepupunya, Muhd. Taufik Abd. Rahman, 20; serta dua lagi rakan mereka, Mohd. Shahidan Shaari, 26, dan Mohd. Shahafiz Othman, 22, maut. Kesemua mereka bekerja sendiri.

Kemalangan yang berlaku ketika kesemua mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Dungun itu turut mengakibatkan seorang lagi rakan mereka, Wan Samsiah Wan Ghani, 16, kritikal.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, kejadian berlaku apabila kereta yang mangsa naiki merempuh belakang sebuah lori membawa muatan bijih besi yang keluar dari satu simpang.

“Pada masa sama, sebuah kereta jenis Honda yang berada di belakang merempuh pula kereta mangsa. Bagaimanapun, pemandu lori dan kereta Honda tersebut tidak cedera.

“Tiga mangsa maut di tempat kejadian manakala Ahmad Nazrin meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan pada pukul 6 pagi tadi (semalam) manakala seorang lagi kritikal akibat kecederaan parah di kepala dan badan,” katanya di sini semalam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan