Isnin, 30 Julai 2012

Remaja Cedera Diserang Oleh Sekumpulan Lelaki

Polis membawa mangsa untuk mendapatkan rawatan

KUCHING: Seorang remaja menerima beberapa jahitan di kepala setelah ditetak menggunakan objek tajam oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali di Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini, malam kelmarin.

Dalam insiden kira-kira jam 10.05 minit malam itu, mangsa yang berusia 20 tahun dari Segedup bersama rakan-rakannya sedang menuju ke sebuah pusat beli-belah apabila empat lelaki tiba-tiba memberhentikan motosikal dan meluru ke arah mereka.

Menurut rakannya, mereka terpaksa melarikan diri tanpa sempat membantu mangsa memandangkan salah seorang penyerang membawa objek tajam, dipercayai parang. Penyerang yang tidak dikenali itu kemudiannya melarikan diri dari tempat kejadian.

Mereka kemudiannya dimaklumkan saksi yang turut berada di tempat kejadian bahawa kumpulan tersebut berkemungkinan besar tersalah orang memandangkan seorang lelaki berada tidak jauh di belakang mereka segera melarikan diri setelah ternampak kumpulan terbabit.

Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kiri kepala dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) oleh polis pelancong Tebingan Kuching sementara rakan-rakannya yang lain membuat laporan polis untuk tindakan susulan.

Dalam kejadian berasingan, seorang pelajar kolej di Muara Tabuan berusia 21 tahun lebam dan luka di beberapa anggota badan setelah diserang bekas teman lelakinya.

Lelaki itu dikatakan tidak berpuas hati apabila gadis dari Saratok itu memutuskan hubungan mereka lalu bertindak menyerbu asrama mangsa sekitar jam 7 petang.

Suspek yang disyaki mabuk terdahulu membelasah rakan serumah mangsa, sebelum menyerang dengan menendang dan menumbuk mangsa di bilik tidurnya.

Mangsa ditemani rakannya kemudian membuat laporan polis sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).


Tiada ulasan:

Catat Ulasan