KUCHING: Niat seorang gadis melarikan diri bersama teman lelakinya tidak kesampaian selepas motosikal yang ditunggangi oleh mereka terbabas dalam satu kemalangan, awal pagi semalam.
Gadis tersebut yang berusia 15 tahun dan berasal dari Jalan Landeh dikatakan telah beberapa hari tidak pulang ke rumah dan dipercayai tinggal bersama teman lelakinya yang berusia 17 tahun di Kampung Haji Baki, di sini.
Bagaimanapun, perkara tersebut terbongkar selepas gadis tersebut dilihat menaiki sebuah motosikal bersama seorang lelaki dipercayai teman lelakinya di Kampung Haji Baki sekitar jam 2 pagi semalam oleh ahli keluarganya sendiri.
Menyedari mereka telah diekori, suspek iaitu teman lelaki gadis tersebut terus memecut laju dari tempat kejadian sebelum motosikal mereka terbabas menyebabkan kedua-duanya mengalami kecederaan pada tangan dan kaki.
Suspek kemudian dikatakan mengamuk di tempat kejadian dan memaksa orang ramai mendapatkan bantuan dari Unit Kereta Peronda polis (MPV) yang kemudian menahan dan membawa suspek ke Balai Polis Simpang Tiga untuk disoal siasat.
Hasil siasatan awal mendapati suspek juga telah merogol gadis tersebut beberapa kali di sebuah rumah di kampung terbabit.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad semasa dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu mangsa diiringi ahli keluarganya membuat laporan polis berhubung kejadian.
Suspek kini ditahan sementara siasatan berhubung kejadian masih dijalankan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan