Selasa, 31 Julai 2012

Mercun: Berjaga-jaga Sebelum Kena


LIMBANG: Berjaga-jaga sebelum terkena. Itulah nasihat Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai kepada orang ramai berhubung permainan dan penjualan mercun sempena sambutan Aidilfitri yang akan diadakan tidak lama lagi.

Tegas beliau ibu bapa perlu memantau pergerakan anak-anak mereka agar tidak bermain mercun kerana ia boleh mendatangkan bahaya dan kecederaan.

“Permainan mercun sempena musim perayaan termasuk Aidilfitri adalah tidak dibenarkan kerana boleh membahayakan nyawa orang ramai.

“Ibu bapa perlu mengambil iktibar daripada kejadian yang dilaporkan di media massa, sebelum terlambat,” katanya.

Mohd Bukhori berkata, Hari Raya sepatutnya disambut dalam keadaan bersuka ria dan bukannya berduka selepas mengalami kecederaan teruk akibat bermain mercun.

Menyentuh mengenai budaya bermain meriam buluh yang popular semasa musim perayaan tegasnya, ia boleh mengakibatkan letupan dan percikan yang boleh mencederakan tubuh dan muka si pemainnya.

“Oleh kerana buluh yang digunakan tumbuh secara semula jadi, ia tidak mempunyai kekuatan yang sekata. Dengan itu tidak terdapat jaminan buluh yang diguna-kan mampu bertahan dengan letupan yang terhasil, maka ia mampu pecah ketika meletup,” ujarnya.

Mohd Bukhori memberitahu lagi, letupan itu amat berbahaya kerana buluh akan berderai dan terpercik seperti lidi dan selumbar.

“Itu tak termasuk bahan api yang mungkin akan terpercik dan menyebabkan kelecuran dan kecacatan kekal pada muka dan anggota badan akibat letupan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu beliau menegaskan bahawa polis akan megambil tindakan termasuk merampas dan mendakwa mereka yang menjual mercun sama ada secara tertutup atau terbuka di daerah ini.

“Operasi akan dijalankan secara berterusan bagi memantau sebarang aktiviti penjualan mercun, lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri,” katanya, sambil menambah pemilikan mercun dan bunga api adalah menyalahi undang-undang mengikut Akta Bahan Letupan 1957.

Dalam pada itu beliau turut mengingatkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya agar memaklumkan ketiadaan mereka kepada jiran berdekatan.

“Rumah perlu dikunci dan maklumkan kepada jiran ataupun menghubungi balai polis bagi memudahkan anggota kami melakukan rondaan,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan