Jumaat, 27 Julai 2012

Bintulu Dilanda Kolera


KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) semalam mengesahkan wabak kolera berlaku di daerah Bintulu dengan 33 daripada 140 kes setakat semalam, disahkan positif bakteria vibrio cholera.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Masyarakat Dato Sri Wong Soon Koh berkata JKN menerima maklumat pertama pada 12 Julai yang mulanya hanya dikategorikan sebagai kes keracunan makanan dengan empat pesakit dimasukkan ke wad Hospital Bintulu.

Beliau berkata salah seorang pesakit yang dimasukkan ke Hospital Bintulu itu disahkan positif vibrio cholera pada 14 Julai dan sejak itu JKN mengesan wabak kolera di daerah Bintulu.

Menurutnya wabak kolera di Bintulu bermula sejak Regata Bintulu yang diadakan pada 6 hingga 8 Julai lalu selepas tiga daripada peserta dimasukkan ke wad Hospital Bintulu disahkan menghidap kolera dua hari selepas pemeriksaan lanjut dibuat.

Wong bagaimanapun berkata kes yang berpunca daripada regata sudah berakhir dan kini kes mula merebak ke bahagian Bandar Bintulu.

“Perkara ini yang amat kita bimbangkan dan jika tidak dikawal kemungkinan besar ia boleh merebak ke seluruh Sarawak lebih-lebih lagi Hari Raya Puasa akan disambut dalam tempoh tiga minggu lagi kerana ada pesakit yang positif tetapi tidak mengalami simptom. Tambahan bakteria vibrio cholerea boleh kekal hidup dalam badan manusia selama tiga bulan,” jelas pada sidang media di pejabat beliau yang turut dihadiri ialah Menteri Muda Kesihatan Awam Dr Jerip Susil.

Terdahulu beliau menghadiri taklimat daripada Jabatan Kesihatan Negeri diketuai Konsultan Epidemiologi JKN Datu Dr Andrew Kiyu disertai Timbalan Pengarah Perkhidmatan Kesihatan (Kesihatan Awam) JKN Dr Noorzilawati Sahak dari Seksyen Kawalan Penyakit Berjangkit JKN dan Penolong Pegawai Kesihatan Alam Sekitar JKN Muslim Mhd Ghazali.

Justeru katanya bagi membendung penyakit itu daripada terus merebak JKN Bintulu kini mengambil langkah proaktif dengan membuka pusat saringan kesihatan di semua klinik kerajaan di Bintulu.

JKN Bintulu juga katanya melancarkan Ops Ramadan dengan memeriksa semua gerai bagi memastikan makanan dijual selamat dimakan.

Selain itu pengusaha diwajibkan melakukan saringan kesihatan terlebih dahulu sebelum dibenarkan membuka gerai, tegasnya.

Pengusaha yang lulus saringan kesihatan akan diberi kad kesihatan dan jika terdapat pengusaha ingkar, mereka diarah menutup gerai mereka.

“Perkara paling penting, minum air yang sudah dimasak, gunakan air bersih bukan sumber air sungai untuk membasuh makanan atau pinggan mangkuk, elakkan memakan makanan yang mentah dan sentiasa mementingkan aspek kesihatan,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan