Selasa, 7 Ogos 2012

188 Kotak Mercun, Bunga Api Bernilai RM8,000 Dirampas


BAU: Polis merampas sebanyak 188 kotak mercun dan bunga api yang dianggarkan bernilai RM8,000 dalam serbuan ke rumah lama di Jalan Jambusan, di sini, baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Daerah (KPD) Bau DSP Mohd Sabri Zainol, serbuan itu dibuat sekitar jam 3.30 petang Selasa lepas setelah menerima maklumat daripada orang awam.

“Bagaimanapun, tidak ada tangkapan dibuat memandangkan rumah itu kosong dan hanya menjadi tempat penyimpanan. Justeru, saya ingin menasihati masyarakat, termasuk anak-anak untuk menjauhi mercun bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Bau di sini, semalam.

Antara jenis mercun dan bunga api yang dirampas adalah Mini Ciciolo iaitu sebanyak 136 kotak, Shot Flaring Ball (tujuh), mercun biasa (21) dan Magic Shot (24). Menurut Sabri, kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Katanya sesiapa yang didapati memiliki barang tersebut boleh dikenakan hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda RM10,000.

Beliau turut mendedahkan bahawa pasukan sama diketuai oleh DSP Benedict, turut membuat serbuan ke sebuah lagi rumah kosong di Jalan Emas dan merampas sembilan kotak bir selepas dipercayai tanpa cukai kastam.

Rampasan yang dianggarkan bernilai melebihi RM1,000 itu katanya merangkumi lima kotak bir jenis Heineken dan empat kotak bir jenis Tsingtao.

“Kami akan serahkan barangan tersebut kepada pihak kastam untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda minimum 10 kali nilai rampasan atau maksimum 20 kali nilai rampasan atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Sabri turut menggalakkan penunggang motosikal memanfaatkan kemudahan tempat mengunci motosikal yang disediakan oleh pihak Majlis Daerah Bau dalam usaha menjadikan daerah kecil itu sebagai daerah selamat.

Pada masa yang sama, beliau turut menasihati penunggang motosikal untuk lebih berhati-hati khasnya pada musim perayaan.

“Ketika musim perayaan, ramai yang cenderung menggunakan masa tersebut untuk merempit… memang seronok tetapi sekiranya apa-apa berlaku, bukan sahaja anda akan ditimpa kesusahan, malah ahli keluarga juga terlibat,” katanya.

Sabri turut menyeru orang ramai yang akan meninggalkan rumah selama seminggu untuk memaklumkan kepada polis dan jiran agar usaha pemantauan dapat dijalankan.

“Jangan tunggu apabila kejadian (pecah rumah) dah berlaku baharu nak maklumkan kepada kami kerana pada masa itu, siasatan agak sukar dilakukan kerana bukti tidak ‘fresh’ (segar) lagi. Apabila musim perayaan kita kena lebih berhati-hati kerana pada masa tersebutlah ramai penjenayah akan berkeliaran,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan