Selasa, 7 Ogos 2012

Lelaki disyaki jual loteri haram direman dua hari


MIRI: Seorang lelaki yang ditangkap kerana disyaki menjalankan aktiviti menjual loteri haram diperintahkan Mahkamah Majistret pagi semalam supaya direman dua hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Lovely Natasha Charles setelah membenarkan permohonan reman yang dikemukakan pegawai penyiasat Sarjan Zairustam Abdullah daripada Balai Polis Pusat Miri.

Dalam permohonannya, Zairustam memberitahu bahawa sekitar jam 3 petang, 5 Ogos lalu, sepasukan polis daripada Cawangan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri dengan diketuai Detektif Sarjan Lai Sem Lee yang menjalankan Ops Dadu telah membuat pemeriksaan di sebuah premis di kawasan Tudan.

Dalam pemeriksaan itu, polis telah menahan seorang lelaki kerana disyaki menjalankan aktiviti penjualan loteri haram di kawasan tersebut.

Semasa tangkapan dibuat, polis turut merampas sebuah buku tercatat nombor dipercayai loteri haram, dua batang pen, wang tunai RM83 dan sebuah beg pinggang daripada suspek untuk dijadikan barang kes.

Dalam permohonan lanjutnya, Zairustam memberitahu bahawa reman selama tiga hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas suspek yang berusia 50 tahun dari Kampung Tudan di sini amat diperlukan untuk membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini.

Selain itu, polis masih memerlukan masa untuk mendapatkan laporan pakar judi dan membebaskan suspek lebih awal akan menjejaskan siasatan lanjut polis.

Bagaimanapun, mahkamah hanya membenarkan reman dua hari dan memerintahkan suspek dihadapkan semula ke mahkamah sama pada 8 Ogos ini untuk sebutan kes - Utusan Borneo


Tiada ulasan:

Catat Ulasan