Selasa, 7 Ogos 2012

Kumbang Dipenjara Kerana Hempas Anak Anjing Hingga Mati

Kumbang (baju putih) dibawa keluar dari Mahkamah

KUCHING: Serang pembantu kedai dijatuhi hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam, dipercayai kes kekejamanan terhadap haiwan yang pertama dibawa ke muka pengadilan di negeri ini.

Kumbang Jali, 55, mengakui salah menghempas lima ekor anak anjing sehingga mati ke lantai simen (konkrit) di belakang sebuah kedai di Pusat Komersial Setia Raja dekat sini pada 18 Julai tahun ini.

Hukuman dijatuhkan oleh Majistret Maris Agan di bawah Seksyen 3 (1) (Pencegahan) Kekejaman Ke Atas Haiwan) Ordinan 1963 dan dihukum di bawah Seksyen 5 (2) ordinan sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga bulan atau denda RM500. Majistret Maris mengarahkan hukuman penjara dilaksana dengan serta-merta.

Menurut keterangan kes, tertuduh pergi membuang sampah di belakang kedai tempatnya bekerja dan berang apabila induk kepada anak-anak anjing dihempasnya cuba menggigitnya.

Dia kemudiannya membalas dendam dengan melepaskan geramnya ke atas kelima-lima anak anjing itu yang ketika itu sedang baring di atas lantai simen, setelah menghalau ibu anjing berkenaan menggunakan batang kayu. Kesemua anak anjing yang dihempasnya ke simen dipercayai mati serta-merta.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian kejam itu sempat merakamkannya dan menghantar rakaman itu ke lama sosial Facebook Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan Sarawak (SSPCA) dan persatuan itu kemudiannya membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Ekoran maklumat tersebut, suspek yang kemudiannya dikenali sebagai Kumbang ditahan kira-kira jam 5.45 petang di rumah pangsa sewanya di Demak Laut.

Dalam pengakuannya, Kumbang memberitahu mahkamah dia melakukan kesalahan itu buat pertama kalinya dan meminta hukuman ke atasnya dikurangkan. Tertuduh memberitahu dia sedar serta insaf dan tidak akan mengulangi kelasahan dilakukannya.

Dia juga mendakwa dia bertindak demikian hanya untuk mempertahankan dirinya daripada ibu anjing berkenaan. Inspektor Yunus Sahak bertindak sebagai pendakwa raya manakala Kumbang tidak diwakili peguam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan