Jumaat, 3 Ogos 2012

Angin Kencang Jejaskan 56 Keluarga Di Nanga Tutus

Andrew (tengah) bersama (dari kiri) Tuai Rumah Ali, Richard, Stanley dan Tuai Rumah Ukar 

SIBU: Kejadian angin kencang yang menjejaskan 42 keluarga di Rantau Panjang pada 21 Jun lepas, telah membadai 56 keluarga di Nanga Tutus, Batang Igan baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang pada 29 Julai lepas, 56 keluarga daripada enam rumah panjang di Nanga Tutus terjejas setelah bumbung rumah mereka diterbangkan oleh angin kencang.

Rumah panjang yang terlibat ialah Rumah Ukar Senin yang melibatkan 10 keluarga, Rumah Simon Angup (sembilan), Rumah Steven Bana (enam), Rumah Augustine Meringgai (lima), Rumah Muja Ayun (lapan) dan Rumah Ali Jampi (17).

Nanga Tutus terletak 20 minit perjalanan menaiki bot laju dari Rantau Panjang, Batang Igan yang telah dibadai angin kencang sebanyak dua kali sebelum ini.

Kejadian pertama berlaku pada 9 September 2009, melibatkan 32 keluarga diikuti kejadian kedua pada 21 Jun lepas.

Setiausaha Politik Ketua Menteri Andrew Shilling Bangit berkata, kejadian angin kencang itu turut menjejaskan sebuah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Tutus.

Kejadian katanya, telah menyebabkan bumbung pentas sekolah habis diterbangkan angin, selain menerbangkan sebahagian kecil bumbung bangunan yang menempatkan bilik darjah.

“Kita bimbang kerosakan ini akan menjejaskan sesi pembelajaran terutama semasa hari hujan,” ujarnya kepada pemberita selepas melawat tempat kejadian kelmarin bagi mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh. Turut sama meninjau kerosakan semalam ialah Pemanca Stanley Geramong serta Penghulu Richard Ampi.

Menurut Andrew, dalam lawatan itu beliau telah meninjau kerosakan yang berlaku serta mendapatkan namanama mangsa yang terjejas.

“Perkara ini akan kita rujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya sambil menambah kerajaan akan tetap membantu keluarga yang terjejas.

Menyentuh mengenai 42 keluarga dari Rantau Panjang yang terjejas akibat angin kencang sebelum ini, beliau memberitahu kerosakan bumbung yang dialami oleh mangsa telah dibaiki.

Katanya pihak JKM masih dalam proses menghulurkan bantuan kepada mangsamangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut.

“Kita berharap kepada semua keluarga yang terlibat agar bersabar kerana kerajaan sememangnya akan membantu rakyat.

Ini sejajar dengan slogan kerajaan Barisan Nasional iaitu Janji Ditepati,” tambah Andrew.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan